DILEMA KEHIDUPAN MANGSA BANJIR PENDANG

PENDANG: Bukan tidak mahu berpindah tetapi faktor kewangan membuatkan mereka tiada pilihan dan terpaksa tinggal di kediaman sekarang.

Dilema itu membuatkan penduduk yang kebanyakannya bekerja sebagai pesawah akur dan pasrah walaupun sering menjadi mangsa banjir di Kampung Alor Ali, Tanah Merah dekat Pendang.

Penduduk kampung berkenaan, Saiful Kahar Zakaria, 29, berkata dia terpaksa tinggal di rumah pusaka tinggalan datuknya kerana tidak mampu menyewa apatah lagi membeli rumah.

Dia yang berkerja sebagai mekanik mengakui setiap kali banjir melanda rumahnya dia terkesan kerana jalan keluar dari rumahnya terputus.

“Kalau ada rumah lain, insyaAllah kami nak pindah sebab jalan nak masuk ke sini selalu tenggelam juga. Laluan untuk motor pun tak boleh dilalui,” katanya.

Bagi Abdullah Saad, 70, setiap kali banjir risiko yang terpaksa ditanggung ialah rumah akan dipecah masuk dan dia terpaksa menanggung kerugian kehilangan barang.

“Saya bimbang barang-barang di rumah kerap hilang sebab kita tiada di rumah pindah ke sana sini akibat banjir,” katanya.

Mohd Siddiqi Jamaluddin, 40, yang tinggal lebih 25 tahun di rumah pusaka ibunya berkata banjir kali ini berlaku paling lama selepas banjir besar tahun 2010.

Dia yang tinggal bersama isteri dan ibu serta enam orang anak terpaksa berulang alik dari rumah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Rakan Muda Tanah Merah.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, bilangan mangsa di daerah Pendang mencatatkan 199 orang mangsa daripada 51 keluarga.

Sebanyak 12 buah kampung terjejas antaranya Kampung Sukamari, Kampung Batu 16, Kampung Alor Punti, Kampung Banggol Besi, Kampung Tanjung Radin, Kampung Tanah Merah Dalam, Kampung Seberang Pendang, Kampung Pondok Haji Hussein, Kampung Tok Pauh, Kampung Alor Ali, Kampung Alor Parit dan Kampung Tok Sedau. –AlHijrah Online

Leave a Reply