SELANGOR TARIK TAULIAH MENGAJAR AGAMA ISLAM AKTIVIS POLITIK

Sultan Sharafuddin Idris Shah

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan tauliah mengajar agama Islam di Selangor yang diberikan kepada mana-mana aktivis politik ditarik balik berkuat kuasa 31 Disember ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, selaras dengan titah Sultan Sharafuddin itu, Jawatankuasa Tauliah MAIS akan menyemak semula semua tauliah mengajar agama Islam yang telah dikeluarkan kepada pemegang tauliah dan mana-mana tauliah yang telah diberikan kepada aktivis politik di negeri itu.

Bagaimanapun, ujarnya, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor yang memegang portfolio agama Islam masih boleh menyampaikan pengajaran agama Islam dengan syarat ia tidak menyentuh hal berkaitan politik dalam perkara yang disampaikan.

“Sultan Selangor menitahkan agar agama Islam tidak dipolitikkan dan dijadikan sebagai bahan politik oleh mana-mana pihak di negeri ini khususnya di masjid dan surau.

“Bagi menjaga kesucian agama Islam di negeri Selangor, baginda tidak perkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik kerana dikhuatiri ia boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam serta mencemarkan agama Islam di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Aziz menegaskan, mengajar agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (negeri Selangor) 2003 adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen sama.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, mana-mana orang yang bertindak dengan cara menghina kuasa yang sah, atau mengingkari atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atas sifat baginda sebagai Ketua Agama Islam berhubung dengan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam bagi mana-mana aktivis politik juga adalah merupakan suatu kesalahan di bawah perenggan 12(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” tegasnya. —AlHijrah Online

Leave a Reply