SUKARELAWAN HIJRAH PRIHATIN BANTU CUCI SURAU TERKESAN BANJIR

SHAH ALAM: Seramai 30 sukarelawan Hijrah Prihatin yang terdiri daripada kakitangan TV AlHijrah pada Isnin turun membantu membersihkan Surau Nurul Iman, Padang Jawa yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.

Ketua Kumpulan Integrasi Media dan Hal Ehwal Korporat TV AlHijrah Saifulizan Sidek berkata, usaha sukarelawan Hijrah Prihatin itu bagi membantu meringankan beban ahli jawatankuasa surau serta penduduk setempat selain mengharapkan surau terbabit dapat kembali diimarahkan secepat mungkin.

“Kita tahu ramai ahli jawatankuasa surau serta penduduk setempat sedang giat membersihkan kediaman masing-masing. Jadi usaha kami ini diharap dapat membantu memudahkan urusan mereka.

“Selain membantu membersihkan surau ini, Hijrah Prihatin turut menyumbangkan ‘water jet’ kepada surau berkenaan serta keperluan asas kepada penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu Bilal Surau Nurul Iman Sazali Mat Derus berkata kehadiran sukarelawan Hijrah Prihatin ke surau terbabit dianggap satu doa yang dimakbulkan Allah SWT kerana kehadiran sukarelawan yang sudi membantu membersihkan semula surau terbabit amat diharapkan pihaknya.

“Alhamdulillah sukarelawan Hijrah Prihatin sudi buat gotong-royong membersihkan surau. Kami pihak surau sebelum ini tertunggu-tunggu siapa yang akan memberi bantuan untuk surau ini. Jadi kami bersyukur sangat-sangat,” katanya.

Bilal Surau Nurul Iman Sazali Mat Derus (kiri) terima sumbangan daripada Ketua Kumpulan Integrasi Media dan Hal Ehwal Korporat TV AlHijrah Saifulizan Sidek (kanan).

Menurut Sazali, banjir pada 18 Disember lalu merupakan antara yang terburuk pernah melanda di kawasan berkenaan dengan bahagian bawah surau dua tingkat itu tenggelam sepenuhnya.

Katanya bencana tersebut telah menyebabkan hampir semua barangan di Surau Nurul Iman rosak termasuk karpet surau yang baru ditukar dan kos kerugian dijangka mencecah RM150,000. – AlHijrah Online

Leave a Reply