BANJIR: PENGAGIHAN BANTUAN WANG IHSAN MELALUI TIGA KAEDAH

KUALA LUMPUR: Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) giat mengesan mangsa banjir yang belum berdaftar dalam usaha memastikan agihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dapat disalurkan segera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bantuan berkenaan sudah mula diagihkan kepada mangsa banjir mulai semalam.
Katanya, kerajaan telah menyalurkan RM34 juta untuk diagihkan kepada 34,000 ketua isi rumah di negeri-negeri yang terjejas banjir sehingga 27 Disember.
“Dana yang diperuntukkan kerajaan persekutuan untuk disalurkan kepada mangsa banjir perlu dipermudahkan dan disegerakan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, Mesyuarat Task Force Pengurusan Pasca Banjir dan Kesiapsiagaan Menghadapi Gelombang Kedua Bencana Banjir yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali semalam telah memutuskan serahan tunai dilaksanakan bagi memastikan mangsa banjir segera menerima BWI.
Jelasnya, tiga kaedah digunakan bagi memudahkan urusan penyaluran BWI secara lebih efektif dan pantas.
“Tiga kaedah digunakan bagi penyaluran BWI iaitu pertama serahan tunai di PKOB, kedua pula serahan tunai rumah ke rumah manakala ketiga, pemindahan tunai secara atas talian (EFT).
“Bantuan ini sudah mula diagihkan di peringkat PKOB dengan kerjasama ICU, JPM,” katanya.
Pada 19 Disember lalu, Ismail Sabri mengumumkan pemberian bantuan sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua keluarga yang terjejas akibat bencana banjir.
Selain itu, bantuan pengurusan kematian kepada waris mangsa yang terkorban dalam kejadian banjir turut dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000. —AlHijrah Online