Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

SEMUA JAJAHAN DI KELANTAN BERISIKO BANJIR

DALAM NEGARA

SEMUA JAJAHAN DI KELANTAN BERISIKO BANJIR

JELI : Kesemua 10 jajahan di Kelantan berisiko dilanda banjir, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

Beliau berkata, justeru polis mengambil langkah berjaga-jaga sejak Julai lepas dengan mengadakan pelbagai latihan termasuklah menyelamat dan pengendalian logistik.

“Tiada kawasan khusus (dilanda banjir). Semua kawasan di negeri ini harus dianggap berisiko banjir dan semua anggota perlu bersedia dari aspek mental dan fizikal.

“Justeru, cuti kira-kira 3,000 pegawai dan anggota akan dibekukan (jika perlu),” katanya pada sidang akhbar berkaitan rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan negeri-negeri di pantai timur dijangka mengalami empat hingga enam episod hujan lebat bermula awal November hingga Januari depan berikutan kedatangan monsun Timur Laut yang sering mengakibatkan banjir.

Beliau turut meminta masyarakat melakukan persiapan awal untuk berpindah bagi mengelak kesukaran agensi keselamatan memberikan bantuan.

“Begitu juga warga emas yang tinggal seorang diri, seboleh-bolehnya berpindah ke rumah ahli keluarga yang lain bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Sementara itu, Hasanuddin berkata, pihaknya menahan seorang peniaga habuk kayu berusia 47 tahun bersama 1,800 biji pil yaba bernilai RM18,090 dalam satu serbuan di Kampung Batu Melintang, Jeli pada jam 3 pagi semalam.

“Kesemua pil itu disembunyikan di dalam sebuah kereta yang berada di kawasan rumah terbabit dan siasatan awal mendapati pil berkenaan diperoleh dari Tanah Merah untuk diedarkan di sekitar Jeli.

“Suspek yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan positif methamphetamine direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 3 November depan untuk disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. — BERNAMA


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading