ORANG AWAM CEDERA AKIBAT BEDILAN YPG/PKK DI AZAZ, SYRIA

AZAZ : Kumpulan pengganas YPG/PKK melakukan serangan di tenggara Syria semalam walaupun Turki-Syria memeterai perjanjian supaya kumpulan pengganas itu berundur dari wilayah terbabit.
Agensi berita Anadolu melaporkan, kumpulan pengganas itu di wilayah Tal Rifat melepaskan lima tembakan artileri ke kawasan dikuasai Tentera Nasional Syria (SNA) dekat Azaz, menyebabkan kecederaan kepada orang awam.
Serangan itu dilancarkan selepas Ankara dan Moscow mencapai persetujuan pada 22 Oktober lalu di mana YPG/PKK akan berundur sejauh 30 kilometer dai selatan sempadan Turki di utara Syria dalam tempoh 150 jam.
Pengunduran pengganas YPG/PKK sejajar dengan gencatan senjata dicapai pada 23 Oktober lalu.
Turki melancarkan Operasi Peace Spring pada 9 Oktober lalu untuk membersihkan pengganas daripada utara Syria di timur Sungai Euphrates bagi memastikan pelarian Syria yang berada di sempadan Turki kembali dalam keadaan selamat dan untuk memastikan integriti wilayah terbabit.
PKK disenaraikan sebagai organisasi pengganas oleh Turki, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah. Kumpulan pengganas itu dilaporkan bertanggungjawab ke atas kematian 40,000 mangsa, termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi dalam tempoh 30 tahun kempen keganasannya ke atas Turki. — Terjemahan AlHijrah Online