SERANGAN ISRAEL RAGUT 32 NYAWA DI GAZA

GAZA CITY: Sekurang-kurangnya 32 rakyat Palestin terkorban dalam serangan dua hari oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Palestin pada lewat Rabu.

Kementerian itu berkata 100 lagi termasuk 30 kanak-kanak dan 13 wanita cedera dalam serbuan tersebut.

Pada Rabu pagi, Briged Al-Quds, sayap bersenjata kumpulan Jihad Islam, berkata seorang komander lapangannya terbunuh dalam serbuan itu.

Terdahulu, tentera Israel berkata pihaknya telah melakukan serangan udara ke atas skuad Jihad Islam yang cuba melancarkan roket ke arah Israel dari utara Semenanjung Gaza.

Dalam satu kenyataan, tentera Israel berkata lebih 250 roket telah dilancarkan dari Gaza ke arah Israel sejak Selasa pagi.

Perkhidmatan ambulans rasmi Israel, yang dikenali sebagai Red Star of David, berkata 44 rakyat Israel cedera ringan dalam serangan roket yang dilancarkan dari Gaza ke arah kawasan selatan Israel sejak Selasa.

Ketegangan memuncak di Gaza pada awal Selasa selepas satu serangan udara Israel membunuh Bahaa Abu al-Atta, seorang komander kanan kumpulan Jihad Islam Palestin dan isterinya, Asmaa.

Pesawat perang Israel turut melancarkan serangan udara yang menyasarkan pemimpin Jihad Islam, Akram al-Ajouri, di ibu kota Syria iaitu Damsyik.

Dua orang, termasuk anak lelaki al-Ajouri, terbunuh manakala 10 lagi cedera namun pemimpin Jihad Islam itu terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. — BERNAMA

Leave a Reply