MELAKA: Imam 3 Masjid Al-Ehsan Bukit Baru, Muhammad Adhan Adnan meletakkan jawatan pada Rabu 21 Jan susulan penularan video seorang lelaki didakwa setiausaha masjid itu menonton video lucah di dalam pejabat.
Menerusi surat perletakan jawatannya, dia memaklumkan keputusan tersebut dibuat atas akur dengan arahan pengerusi masjid susulan isu salah laku melibatkan setiausaha masjid berkenaan.
Beliau dalam pada itu turut meluahkan rasa kecewa atas persepsi negatif terhadapnya selepas membongkarkan perkara tidak bermoral itu.
Tegasnya, tujuan rakaman dibuat bukan untuk tatapan umum, sebaliknya sebagai rujukan kepada pihak pengurusan masjid dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Bagaimanapun video berkenaan telah disalah guna serta disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Isu video yang tular itu bukan saya yang sebarkan. Rakaman tersebut diambil untuk rujukan ahli jawatankuasa masjid dan JAIM sahaja, namun terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkannya.
“Bagi mereka yang mengecam saya tanpa mengetahui cerita sebenar, saya memaafkan semuanya. Pada masa akan datang, tabayyunlah dahulu sebelum membuat sebarang komen,” katanya.
Sebelum ini tular rakaman memaparkan perbuatan tidak senonoh yang dirakam oleh Muhammad Adhan ketika beliau berada di masjid berkenaan bagi menjadi saksi upacara akad nikah.
Perbuatan itu terbongkar selepas disedari orang awam yang menjengah melalui tingkap kaca pejabat berkenaan dan melihat skrin komputer memaparkan kandungan tidak bermoral.—AlHijrah Online