SHEIKH ABDUL RAHMAN AS-SUDAIS UMUM PERINCIAN OPERASI HAJI 1441 HIJRAH HARI INI

ARAB SAUDI: Perincian operasi pelaksanaan musim haji 1441 Hijrah di tanah suci akan diketahui pada Selasa.
Pengumuman mengenainya akan dibuat Presiden Haramain, Sheikh Abdul Rahman As Sudais menerusi satu taklimat media khas esok, menurut laman Twitter Haramain Sharifain.
Sebelum ini sebahagian teka teki tentang pelaksanaan ibadah haji tahun ini terjawab selepas kerajaan Arab Saudi mengumumkan hanya 10,000 jemaah sahaja dibenarkan menunaikan rukun Islam kelima itu. Ia sebagai langkah pencegahan daripada penularan virus COVID-19 yang kini masih merebak ke seluruh dunia.
Kelaziman musim haji pada tahun-tahun sebelumnya menyaksikan lebih tiga juta jemaah berhimpun di tanah suci bagi tujuan itu.
Daripada 10,000 jemaah yang mendapat keizinan itu, 70 peratus adalah jemaah pelbagai warga negara yang menetap di Arab Saudi, manakala baki 30 peratus lagi adalah rakyat tempatan.
Tiada kebenaran diberikan daripada individu luar untuk masuk ke Arab Saudi bagi tujuan menunaikan haji. Sesiapa yang didapati bersalah memasuki tanah suci dan lokasi-lokasi haji tanpa kebenaran, mereka boleh didenda sehingga 10,000 Riyal Saudi (bersamaan kira-kira RM11,368) dan penjara selama 15 hari.
Mereka yang datang dari luar negara dan didapati bersalah juga akan diusir keluar dari Arab Saudi serta-merta.

Sementara itu, bagi jemaah yang bakal melaksanakan ibadah itu tidak lama lagi, mereka akan diberikan gelang pintar untuk dipakai sepanjang musim haji. Gelang pintar pemberian Kementerian Haji Arab Saudi itu digunakan bagi memantau pergerakan dan kuarantin yang dikenakan ke atas setiap jemaah.
Laman-laman sosial popular berkaitan tanah suci Makkah dan Madinah juga kini mula memaparkan perkembangan-perkembangan persediaan ibadah haji, antaranya di Makkah, Arafah, Muzdalifah dan Mina. – AlHijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi