CONTENG MURAL PEMIMPIN TIGA MINIT SAHAJA!

Lakaran dipadam sepenuhnya menggunakan cat putih.

SHAH ALAM: Hanya tiga minit! Itu masa diambil sekurang-kurangnya dua individu dipercayai wanita, menconteng dan merosakkan mural yang memaparkan wajah-wajah pemimpin tertinggi negara termasuk Yang DiPertuan Agong, Al-Sultan Abdullah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah di Taman Cahaya Alam, seksyen U12 Shah Alam, Selangor.

Perbuatan tersebut dipercayai dilakukan sekitar jam 11 malam tadi, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menghala ke arah mural tersebut.

Menurut kontraktor CCTV yang ditemui AlHijrah Online di lokasi kejadian, wajah suspek-suspek sukar dikenal pasti kerana sayup-sayup cahaya lampu di sekitar lokasi itu mengganggu kualiti rakaman yang lazimnya lebih jelas pada waktu malam.

“Wajah suspek agak sukar dikesan, namun pastinya pihak berkuasa ada cara untuk menjejaki si pelaku”, kata kontraktor berkenaan.

Petang tadi, AlHijrah Online berkesempatan meninjau lokasi kejadian. Gambar wajah-wajah pemimpin negara itu telah dipadam dengan cat berwarna putih.

Tiada lagi mural yang menterjemah semangat patriotisme rakyat kepada negara.

Turut kelihatan petang tadi juga dua kontraktor CCTV sedang membuat kerja-kerja penyelenggaraan terhadap kamera berkenaan, selain empat petugas media.

Kisah lakaran mural dirosakkan itu tular di media sosial pagi tadi apabila wajah-wajah pemimpin tertinggi negara termasuk Al-Sultan Abdullah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi mangsa vandalisme.

Ia disembur dengan warna merah dan diconteng dengan perkataan-perkataan kesat.

Mural gergasi tersebut adalah hasil karya tiga pelukis muda iaitu Muhammad Suhaimi Ali, 27, Muhamad Firdaus Nordin, 26 dan Abdul Hadi Ramli, 27. – AlHijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi

Leave a Reply