Sistem tiket bersepadu banteras ulat tiket

Penumpang kini tidak perlu pergi ke kaunter syarikat bas tertentu untuk membeli tiket bas ke mana-mana.
Malah, mereka hanya perlu pergi ke kaunter tiker bersepadu dan boleh membeli tiket bas ke mana-mana saja di kaunter tersebut.
Buat masa ini, sistem tersebut diguna pakai di Terminal Bersepadu Selatan dan akan diguna pakai di terminal-terminal lain pada masa akan datang.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, sistem ini berupaya membanteras gejala ulat tiket yang merugikan penumpang, terutamanya golongan B40 yang paling banyak menggunakan perkhidmatan pengangkutan itu.
“Dengan sistem ini, tidak ada ruang untuk ulat tiket membeli tiket dan menjual kepada orang lain dengan harga lebih mahal. Ini jaminan yang diberikan oleh pengurusan (TBS) kepada saya”.
Jelasnya, ulat tiket akan mengambil kesempatan pada musim perayaan yang mana permintaan pada perkhidmatan bas sangat tinggi pada ketika itu untuk mengaut keuntungan.
Selain itu, pembelian tiket bas dalam talian juga dapat mengelakkan penumpang daripada ditipu ulat tiket.
Pembelian dalam talian katanya, lebih selamat dan menjimatkan masa dan tenaga penumpang daripada datang ke TBS semata-mata untuk membeli tiket.
Buat masa ini, penguatkuasaan akan terus dijalankan bagi membanteras ulat tiket di terminal-terminal bas lain yang tidak menggunakan sistem tiket bersepadu ini.