TBS penanda aras terminal bas – Anthony Loke

Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menjadi tumpuan 16,000 warga kota setiap hari untuk menggunakan perkhidmatan bas ke destinasi masing-masing.
Justeru, kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan haruslah selesa dan memudahkan para penumpang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, TBS akan dijadikan sebagai penanda aras bagi perkhidmatan terminal bas seluruh negara.
“Dari segi model dan pengurusan, infrastruktur dan sistem, TBS perlu dijadikan rujukan. Kita nak menuju ke tahap yang lebih tinggi iaitu dengan kemudahan dan sistem moden serta memberikan kemudahan dan keselesaan kepada penumpang”.
Selain itu, terminal bas juga perlu menyediakan ruang rehat pemandu bas sekiranya mereka ingin mandi atau tidur.
Perkara itu penting katanya bagi menjamin keselamatan penumpang.
Justeru, satu kerangka perkhidmatan dan undang-undang akan dibentuk agar setiap terminal bas perlu dilesenkan pada peringkat pusat dan bukan sekadar pada peringkat negeri.
Melalui kerangka tersebut, tahap piawaian minimum perlu dipatuhi oleh setiap pengendali terminal bas, termasuklah pengendali terminal bas swasta.
Katanya, kementeriannya akan memastikan tidak wujud pasaran terbuka atau free market dalam perkhidmatan terminal bas swasta sehingga membebankan penumpang.
Oleh itu, pengendali terminal bas swasta perlu patuh pada garis panduan yang diberikan Kementerian Pengangkutan, terutamanya yang membabitkan bayaran.
“Saya dah tegaskan pada pengendali terminal bas swasta bahawa kita tidak akan benarkan pasaran terbuka. Mereka tidak boleh kenakan bayaran mengikut suka hati mereka. Akan diadakan peraturan berkaitan perkara ini”.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Terminal Bersepadu Selatan bagi memastikan kesediaan terminal tersebut menjelang perayaan Tahun Baru Cina.