SOLAT DENGAN SAF RAPAT DI PERLIS BERMULA HARI INI

ARAU: Solat jemaah dengan saf rapat mula dilaksanakan di masjid seluruh Perlis hari ini selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Timbalan Pengerusi yang juga Imam Dua Masjid Negeri Arau, Zubair Abdullah berkata kebenaran itu memberi peluang kepada lebih ramai umat Islam untuk mengimarahkan masjid bagi menunaikan solat fardu.

Katanya walaupun kebenaran saf rapat diberikan, jemaah yang hadir tetap perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada seperti memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri, dan mendaftar masuk melalui aplikasi MySejahtera.

“Saf itu boleh dalam keadaan rapat tetapi mengikut sejadah masing-masing. Kita difahamkan negeri-negeri lain masih belum lagi dirapatkan seperti Perlis.

“Ahli jawatankuasa masjid sentiasa memastikan jemaah yang hadir mematuhi SOP yang telah ditetapkan terutama pemakaian pelitup muka.

“Sekiranya ada jemaah yang terlupa membawa pelitup muka, ia disediakan pihak masjid untuk digunakan jemaah yang hadir,” katanya kepada Alhijrah Online

Beliau juga memaklumkan jumlah jemaah yang hadir untuk solat jemaah juga meningkat selepas kebenaran solat saf rapat.

Sementara itu, seorang jemaah Hamidun Hamzah, melahirkan rasa syukur atas kelonggaran solat saf rapat bermula hari ini.

“Alhamdulillah dengan kebenaran ini kita harapkan bilangan jemaah akan bertambah ramai,” katanya.

Pada Khamis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengumumkan semua masjid di seluruh Perlis akan mula solat berjemaah dengan merapatkan saf, berkuat kuasa solat Subuh pada Sabtu.

Kebenaran itu setelah meneliti perkembangan semasa COVID-19 di negeri itu dan hanya dilaksanakan di semua masjid, manakala surau atau tempat awam masih belum dibenarkan solat saf rapat.

MAIPs pada Khamis juga menjelaskan jemaah perlu membawa saiz sejadah standard dan tidak berlaku sentuhan fizikal. – AlHijrah Online

Leave a Reply