SUAMI DALAM KUARANTIN PUKUL ISTERI KERANA DIHALANG JUMPA ANAK

AMPANG: Gara-gara dihalang berjumpa anak, seorang lelaki berusia 35 tahun memukul isterinya menggunakan tangan dan kayu selain turut mengacu garpu.

Dalam kejadian di rumah mereka di Taman Kosas, Jumaat lalu, suspek yang sedang menjalani kuarantin COVID-19 dilapor dihalang isterinya untuk berjumpa anak kerana bimbang dijangkiti.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata berdasarkan laporan, pengadu juga mendakwa dimarahi suspek dengan kata-kata kesat.

“Suspek juga turut menghalau pengadu keluar dari rumah. Pengadu mengalami kecederaan luka di lengan kiri dan telah mendapat rawatan di hospital.

“Punca kejadian dipercayai suspek marah tidak dapat berjumpa empat anak berusia lapan bulan hingga tujuh tahun disebabkan pengadu bimbang dijangkiti COVID-19 kerana suspek menjalani kuarantin di rumah. Atas alasan itu, pengadu menghantar kesemua anaknya ke rumah keluarga di Cheras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kejadian polis menahan suspek dan ditahan reman empat hari sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan.

“Hasil ujian saringan urin suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

“Suspek tidak bekerja dan pasangan itu telah berkahwin selama lapan tahun,” kata Mohamad farouk.

Tambahnya kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952. – AlHijrah Online

Leave a Reply