PENINGKATAN GENERASI MUDA TERLIBAT DADAH MEMBIMBANGKAN

ALOR SETAR: Jumlah penggunaan dadah dalam kalangan generasi muda di Kedah yang semakin meningkat membimbangkan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata terdapat trend peningkatan penyalahgunaan dadah bagi generasi muda berusia seawal 13 hingga 18 tahun selain belia berusia 19 hingga 39 tahun.
Beliau berkata dadah jenis Syabu, Ketamin, pil Eramin 5, serbuk Eramin, pil Yaba, ubat batuk dan daun ketum mencatatkan jumlah pengguna paling tinggi.
Lebih membimbangkan katanya ramai penagih dadah ketika ini mengambil lebih dari satu jenis dadah.
“Kalau dulu kita lihat penagih hisap satu jenis dadah sahaja, contohnya penagih heroin, hisap heroin sahaja tetapi sekarang dia dah bercampur pelbagai jenis dadah. Pil kuda pun dia makan, ubat batuk pun ditelan, air ketum pun dia minum…”
Kamarul Zaman berkata walaupun pelbagai serbuan dan tangkapan dibuat namun masalah kemasukan dadah ke negara ini perlu ditangani dengan lebih tangkas.
Justeru, pihaknya akan berbincang dengan pelbagai pihak untuk membendung penglibatan golongan muda supaya tidak terjebak penyalahgunaan dadah. – AlHijrah Online