SUAMI TUMBUK ISTERI DITANGKAP

JITRA: Suspek utama kejadian menumbuk dan memukul isteri di khalayak ramai di Tasik Bandar Darulaman, Jitra telah ditahan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, suspek yang juga suami mangsa berusia 33 tahun itu ditahan jam 10 malam tadi selepas bersembunyi di sebuah rumah di Changlun.

Katanya, selepas mendapat maklumat sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu ke alamat terbabit dan berjaya menahan suspek yang ketika itu berada di dalam rumah.

“Suspek dan mangsa dalam proses penceraian dan hasil semakan pihak polis terhadap suspek mendapati suspek seorang penagih dadah iaitu positif methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau,” kata Rodzi.

Tambah beliau suspek telah dibawa ke IPD Kubang Pasu dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini tular video yang memaparkan suspek bertindak menumbuk belakang badan serta menarik rambut isterinya di khalayak ramai dipercayai berang dengan isterinya yang enggan kembali hidup bersama.

Susulan kejadian, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kubang Pasu sebelum ini telah melakukan pemeriksaan di sebuah rumah di belakang Pasar Changlun bagi mengesan suspek namun rumah tersebut didapati tidak berkunci dan tidak berpenghuni. – AlHijrah Online

Leave a Reply