SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Sultan Sharafuddin dalam warkah perkenan ampun yang dimuat naik menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office hari ini memaklumkan bahawa baginda mempertimbangkan dan menerima permohonan ampun dan maaf itu, atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu.
“Beta tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas dalam permohonan maafnya,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut menasihati Muhammad Sanusi agar sentiasa menjaga tutur kata, tatasusila serta jangan terlalu beremosi dan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata terutama sekali apabila berada di dalam negeri Selangor.
Hal ini kerana baginda tidak mahu rakyat khususnya di negeri Selangor terpengaruh dan terbiasa mendengar kata-kata yang kesat dan tohmahan yang tidak berasas terutama sekali daripada golongan pemimpin.
“Kelakuan dan tutur kata yang baik ini amatlah penting untuk masa depan karier politik Datuk Seri. Sebagai seorang pemimpin, Datuk Seri harus memikirkan kesan yang akan diperoleh daripada setiap tindak-tanduk yang telah dilakukan,” titah baginda.
Pada akhir warkah itu, Sultan Sharafuddin turut mendoakan Muhammad Sanusi agar terus berjaya dan dipermudah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.
Sebelum ini, Selangor Royal Office turut memuat naik surat permohonan maaf daripada Muhammad Sanusi bertarikh 25 Sept, antara lain mengandungi permohonan ampun atas kenyataan beliau yang dianggap menghina dan tidak menghormati Sultan Selangor. — AlHijrah Online