SUMBANGAN MESIR, AL-AZHAR AL-SYARIEF TINGKAT MUTU PENDIDIKAN ISLAM MALAYSIA DIHARGAI

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia amat menghargai sumbangan besar kerajaan Mesir dan Al-Azhar Al-Syarief dalam meningkatkan mutu pendidikan Islam di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kepakaran negara itu dalam bidang pengajian Islam menjadikan Mesir antara pilihan utama pelajar Malaysia.

“Dalam bidang pengajian Islam, Mesir menjadi antara destinasi pilihan utama pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran terutamanya di institusi pendidikan yang bergabung dengan Al-Azhar Al-Syarief, seperti Universiti Al-Azhar dan Ma’had Qiraat di Shubra.

“Kini terdapat kira-kira 5,000 lima ribu pelajar Malaysia yang menuntut di kedua-dua institusi ini,” katanya dalam catatan di Facebook.

Mohd Na’im yang ketika ini berada di Mesir telah melakukan kunjungan hormat kepada Pejabat Sheikhul Azhar di Kaherah dan pertemuan yang diketuai Timbalan Sheikhul Azhar, Prof.Dr. Muhammad Ad Dhuwaini telah berlangsung dengan penuh harmoni.

“Dalam pertemuan tersebut, saya sekali lagi telah mengemukakan permohonan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memperbaharui mu’adalah Al-Azhar As-Syarief  kepada Darul Quran JAKIM bagi meneruskan  para pelajar Darul Quran JAKIM untuk menyambung pengajian Ijazah di Ma’ahad Tahfiz wal Qiraat, Shubra, Mesir.

“Pada masa sama, cadangan untuk menambah bilangan pensyarah Bahasa Arab untuk dihantar ke JAKIM bagi memperkukuh penguasaan Bahasa Arab khususnya di kalangan pelajar Darul Quran JAKIM,” katanya.

Mohd Na’im turut menyatakan harapan kementeriannya untuk meningkatkan kerjasama dengan Al-Azhar Al-Sharif dalam pelbagai bidang hal ehwal Islam, termasuk penyelidikan dan usaha menangani ekstremisme agama. — AlHijrah Online

Leave a Reply