KEMAMAN: Polis sedang mengesan beberapa individu dipercayai memukul seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) hingga cedera dipercayai, di Pasar Tani Padang Astaka, di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman DSP Wan Muhammad Wan Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira kira jam 9.30 pagi.
Katanya polis menerima laporan seorang lelaki berusia 47 tahun cedera akibat dipukul dan video kejadian juga tular di media sosial.
“Siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal memasuki kawasan tapak jualan terbabit dan terlanggar sebuah gerai menyebabkan barangan jualan tumpah dan terjatuh.
“Akibat kejadian itu, beberapa individu yang berada di tempat kejadian bertindak memukul mangsa dan siasatan polis juga mendapati mangsa adalah OKU kategori ketidakupayaan mental,” katanya.
Mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Kemaman untuk dirawat dan polis sedang giat mengesan beberapa individu terlibat untuk siasatan lanjut, katanya.
Kes akan disiasat mengikut Sekayen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Kemaman di talian 09-8592222.–AlHijrah Online