TABUNG HAJI MENANG ANUGERAH KECEMERLANGAN TEKNOLOGI MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) buat julung kalinya memenangi Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2021 menerusi platform ThiJARI, dalam kategori Perkhidmatan Dalam Talian-Perkhidmatan Kewangan.

Dalam kenyataan TH, anugerah diberikan Singapore Business Review itu sebagai pengiktirafan kepada projek inovatif yang dilaksanakan TH melalui aplikasi THiJARI.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, THiJARI menyediakan perkhidmatan pengurusan kewangan dan haji yang inovatif dan memudahkan kepada orang awam dan para pendeposit.

“Anugerah ini adalah satu pengiktirafan kepada Tabung Haji dan merupakan manifestasi sokongan para pendeposit atas usaha kami menambah baik perkhidmatan dalam talian dengan pengenalan THiJARI demi kemudahan mereka.

“Ia juga seiring dengan perkembangan digital masa kini dan menjadi platform utama dalam membantu mendepani cabaran pandemik COVID-19 sekarang,” katanya.

THiJARI merupakan aplikasi yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang tinggi bagi memberikan perkhidmatan terbaik di samping rekaan dengan susun atur yang kemas, navigasi yang mesra pengguna.

“Antara fungsi utama yang disediakan termasuklah kemudahan pembukaan akaun secara maya (VAO), butiran akaun, pindahan dana dari bank ke TH melalui Pertukaran Proses Kewangan (FPX), pendaftaran hibah amanah dan pindahan simpanan dari akaun TH ke akaun TH yang lain.

“THiJARI turut berfungsi untuk keahlian Kelab TaHa dan pelbagai perkhidmatan haji seperti pendaftaran haji, tawaran haji, rayuan haji dan jadual penerbangan haji,” katanya.

TH memaklumkan selepas setahun dilancarkan, pengguna THiJARI Web telah mencecah hampir 830,000 dan 430,000 pengguna THiJARI App dengan 50,000 transaksi direkodkan setiap hari.

THiJARI kini boleh dicapai melalui web www.thijari.com.my atau dimuat turun menerusi aplikasi iOS dan Android.—AlHijrah Online

Leave a Reply