TEMUDUGA DALAM HUTAN BUKAN PENGHALANG REMAJA KEJAR IMPIAN JADI PENDIDIK

BETONG: Meredah hutan selama dua jam, mendaki bukit, sebelum mendirikan khemah sementara beratap zink, berdinding kayu dan berlantai tikar bemban di tengah belantara.

Itu cabaran yang terpaksa dihadapi oleh Frank Steward Anak Sa, 21, untuk membolehkannya menghadiri temuduga secara maya untuk memasuki Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.

Semuanya untuk mendapatkan talian internet yang jelas dan kuat, yang frekuensinya hanya dapat dicapai di lokaliti terbabit, bukan di rumah panjang tempat kediamannya.

Mengulas kegigihan tersebut, bekas penuntut Sekolah Menengah Kebangsaaan St Augustine, Betong itu berkata, dia mengikuti dua sesi temuduga dengan universiti itu pada 7 dan 14 Februari lalu, pada jam 8.30 pagi bagi memenuhi cita-citanya untuk menjadi seorang pendidik.

“Saya betul-betul mahu berjaya dalam temuduga ini kerana belajar di UPSI merupakan impian saya sejak dari kecil, kerana saya memang berminat untuk menjadi seorang pendidik.

“Saya juga ingin membuatkan harapan ibu bapa saya melihat saya menjadi seorang pendidik tercapai suatu hari kelak.

“Saya ingin mendidik anak-anak di kawasan pedalaman ini supaya mereka tidak mudah menjadikan kesusahan yang mereka alami sebagai satu penghalang untuk berjaya,” katanya.

Mengimbas apa yang berlaku pada hari tersebut, Frank memberitahu, dia dan bapanya, Sa Anak Ujom, perlu keluar dari rumah seawal jam 6 pagi untuk ke lokasi berkenaan.

Biarpun pada hari pertama, cuaca baik, namun ketika temuduga kedua, hujan turun lebat, menyebabkan dirinya basah kuyup.

Kata Frank lagi, beliau berharap, kemudahan jalur lebar di kawasan kediaman dan perkampungannya dapat dinaik taraf segera bagi membolehkan urusan seperti pembelajaran dalam talian ini dapat diikuti dengan baik.

Beliau juga berharap, kediaman mereka yang terletak di pedalaman Betong segera dihubungkan dengan laluan berturap, berbanding laluan balak ketika ini.

Kesukaran yang dihadapi oleh Frank mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa .

Dalam ciapan Twitternya, Annuar memberitahu, beliau bersimpati dengan apa yang dilalui oleh Frank dan telah mengarahkan pihak kementeriannya untuk berhubung dengan pelaksanaan Sarawak Rural Broadband Network (SRBN ) untuk menangani masalah tersebut. –AlHijrah Online

Leave a Reply