BAU: Seorang kanak-kanak autisme dilaporkan hilang sejak 24 jam lalu, dipercayai keluar rumah tanpa disedari keluarga.
Kelvin Martin, 7, dilaporkan kali terakhir dilihat bermain dengan abangnya, yang juga mengalami autisme di ruang tamu rumahnya di Tembawang Sauh, sebelum disedari hilang sekitar jam 1.39 petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt. Mohd Haide A. Rahman berkata, ibu mangsa dengan bantuan penduduk kampung kemudian terus membuat pencarian sekitar kampung namun gagal menjumpai mangsa.
Semasa pencarian di bahagian di kaki gunung, mereka telah menjumpai seluar yang dipakai mangsa di atas sebongkah batu, berhampiran anak sungai yang dalamnya separas buku lali.
Ibu mangsa, Jakris Juhed, 45, ketika ditemui berkata, ketika kejadian, Kelvin baharu pulang dari sekolahnya di Sekolah Pendidikan Khas SK Jugan, di sini.
“Selepas sampai di rumah, Kelvin terus bermain dengan abangnya manakala saya mencuci pakaian di bilik air.
“Hanya selepas itulah saya menyedari akan kehilangan mangsa,” katanya.
Sehingga petang hari ini, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang membabitkan 61 individu yang terdiri daripada agensi kerajaan dan penduduk kampung telah berpecah kepada empat kumpulan bagi melakukan pencarian sejauh radius dua kilometer dari lokasi terakhir bajunya dijumpai.
Khidmat anjing pengesan K9 turut digunakan bagi membantu pencarian, dan mendapatkan petunjuk terkini.–AlHijrah Online