KANAK-KANAK AFGHANISTAN TERJATUH, TERSANGKUT DALAM PERIGI

KABUL: Pasukan penyelamat di Afghanistan kini giat menjalankan operasi menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan terjatuh ke dalam lubang perigi sejak Selasa lalu, di selatan negara itu.

ARTIKEL BERKAITAN – HAIDAR DISAHKAN MENINGGAL DUNIA

Mangsa yang dikenali sebagai Haidar, 5 tahun, difahamkan terperangkap dalam lubang tersebut yang terletak di perkampungan Shokok di wilayah Zabul, Afghanistan lebih 48 jam atau dua hari.

Berdasarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial, Haidar dilihat masih mampu untuk menggerakkan tangan dan bahagian atas badannya.

Perigi tersebut dikatakan mempunyai kedalaman 24 meter (m) atau 82 kaki dan Haidar tersangkut pada batu di kedalaman 10 m.

Sementara itu, Setiausaha Timbalan Perdana Menteri Afghanistan, Abdullah Azzam memaklumkan usaha mengeluarkan mangsa sedang giat dijalankan dan bantuan oksigen, ambulans serta beberapa keperluan lain telah berada di tempat kejadian.

Jelasnya kanak-kanak itu kini dalam keadaan baik dan pasukan penyelamat sedang berusaha membelah batu bagi menyelamatkan mangsa.

Situasi Haidar seakan-akan sama dengan kejadian kira-kira dua minggu lalu yang melibatkan kanak-kanak Maghribi, Rayan Awram, 5 tahun, yang terjatuh dan terperangkap lebih empat hari dalam perigi sedalam 32 m.

Bagaimanapun, operasi menyelamat itu berakhir tragedi apabila Rayan ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa. – AlHijrah Online

One comment

Leave a Reply