KUALA LUMPUR: Bekas pegawai dan pensyarah Darul Quran, Dr. Abdul Jalal Abdul Manaf, menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 54 tahun, malam tadi.
Beliau yang juga merupakan pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris dilaporkan meninggal dunia pada jam 9 malam tadi.
Darul Quran JAKIM (DQ) dalam kenyataannya berkata, Allahyarham telah mencurahkan bakti dengan penuh dedikasi dalam memartabatkan pendidikan tahfiz al-Quran sepanjang perkhidmatan beliau di DQ.
“Keilmuan serta komitmen Allahyarham telah memberi sumbangan besar dalam melahirkan generasi huffaz yang cemerlang.
“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat Darul Quran khasnya kepada warga pendidik. Segala jasa, ilmu dan sumbangan yang ditinggalkan akan terus dikenang serta menjadi amal jariah yang berpanjangan buat Allahyarham,” katanya.
Sementara itu, salah seorang bekas pelajar Allahyarham, Muhammad ‘Ammar Mukhlis Abdul Mohsin berkata, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan yang amat besar buat keluarga al-Quran khususnya pelajar-pelajar DQ JAKIM.
Katanya, Allahyarham merupakan insan yang sangat menitipkan disiplin dalam setiap kelas yang diajarnya selain menjaga adab dengan al-Quran pada setiap pelajarnya.
“Impiannya menginginkan anak-anak muridnya semua berjaya, boleh menjadi seorang huffaz yang bukan sekadar hanya mampu menghafal al-Quran, tetapi huffaz yang dalam dirinya itu penuh dengan bacaan ayat suci al-Quran dengan mendalami ilmu qiraat.
“Dengan asbab Allahyarham juga memberi saya satu penekanan untuk saya menceburi bidang al-Quran dengan menyambung pengajian ijazah sarjana muda di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),” katanya. –AlHijrah Online