Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

KES TIKAM PELAJAR: LAPORAN PSIKIATRI SAHKAN REMAJA LELAKI LAYAK DIBICARAKAN

DALAM NEGARA

KES TIKAM PELAJAR: LAPORAN PSIKIATRI SAHKAN REMAJA LELAKI LAYAK DIBICARAKAN

Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini diberitahu bahawa keputusan laporan psikiatri mengesahkan remaja lelaki yang didakwa membunuh pelajar perempuan berumur 16 tahun di tandas sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, layak dibicarakan.

Gambar ARKIB.

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini hari ini diberitahu bahawa keputusan laporan psikiatri mengesahkan remaja lelaki yang didakwa membunuh pelajar perempuan berumur 16 tahun di tandas sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, layak dibicarakan.

Peguam Kitson Foong yang mewakili remaja berusia 15 tahun itu berkata laporan daripada pakar psikiatri dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak mendapati anak guamnya berupaya memahami perkara yang berlaku dalam prosiding mahkamah.

“Penama (remaja lelaki) berupaya untuk dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan serta mampu membela diri.

“Mahkamah turut mengarahkan mulai hari ini, penama ditempatkan di sebuah pusat yang digambarkan sebagai penjara untuk kanak-kanak, iaitu Pusat Koreksional Puncak Alam di Selangor,” kata peguam kepada media di luar mahkamah selepas prosiding tertutup di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal.

Kitson berkata mahkamah turut mengarahkan remaja itu, yang sebelum ini ditempatkan di Hospital Bahagia untuk menghadiri sesi kaunseling dan terapi sebulan sekali serta menetapkan 6 Feb ini untuk sebutan semula kes.

Pada 22 Okt lepas, pelajar itu didakwa membunuh rakan sekolahnya itu di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama antara 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Okt 2025.

Tiada pengakuan direkodkan daripada remaja itu kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, serta hendaklah dikenakan hukuman tidak melebihi 12 sebatan jika tidak dihukum gantung.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menetapkan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan atau direkodkan terhadap kanak-kanak berusia bawah 18 tahun yang didapati bersalah dan sebagai ganti hukuman mati, seperti yang diperuntukkan Seksyen 97 (2) akta sama, mahkamah harus memerintahkan individu itu ditahan selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang Dipertua Negeri.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, manakala peguam Nur Izni Syazwani Ahmad hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak ibu si mati.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading