TIDAK SAH UMRAH WANITA DEDAH AURAT

Foto Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Baru-baru ini tular isu seorang wanita menunaikan umrah dengan berpakaian seperti jemaah lelaki sekali gus mengundang kemarahan umum.

Selain kecaman warga maya, isu ini mendapat perhatian daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) untuk memberi komen terhadap isu tersebut.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam penjelasan Bayan Linnas Siri ke-257, tidak sah umrah wanita dalam keadaan aurat terdedah. Hal ini kerana menutup aurat merupakan salah satu daripada syarat sah tawaf.

(Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab: 8/16)

Jelasnya, tawaf yang tidak sah akan menyebabkan rukun-rukun umrah yang lain seperti ihram, sai, dan tahallul menjadi tidak sah. Selain itu, tuntutan untuk memelihara dan menyempurnakan ibadat ini perlu dihayati seperti mana yang diperintahkan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ ۚ

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah”.

(Surah al-Baqarah: 196)

Oleh yang demikian, apabila tawaf tidak sah maka ia akan menyebabkan rukun-rukun umrah yang lain seperti ihram, sai, dan tahallul menjadi tidak sah.

Selain itu, perbuatan wanita berperwatakan seperti lelaki ketika menunaikan ibadah umrah dan dimuat naik di media sosial bukan sahaja menjurus kepada dosa besar malah dikhuatiri mengundang laknat Allah SWT.

Hadis riwayat Sayyidina Abdullah bin Abbas, Rasulullah SAW bersabda:

‌لَعَنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‌المُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالمُتَرَجِّلَاتِ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat golongan wanita yang menyerupai lelaki dan golongan lelaki yang menyerupai wanita”.[6]

(Riwayat al-Bukhari: 6834)

Merujuk kepada hadis di atas, Sheikh al-Zaidani menjelaskan perbuatan seorang lelaki yang menyerupai wanita itu meliputi dari sudut cara berhias, bercakap serta mengubah intonasi ketika cakap.–AlHijrahOnline

Leave a Reply