HAMPIR 10,000 SERTAI SOLAT HAJAT DAN BERZIKIR DI MASJID PUTRA

Ribuan jemaah menunaikan Solat Hajat pada malam Munajat Keluarga Malaysia di Masjid Putra, Putrajaya semalam. — Bernama

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam semalam menyertai hampir 10 ribu jemaah di Masjid Putra di sini untuk solat hajat dan berzikir pada program Munajat Keluarga Malaysia.

Beliau tiba di Masjid Putra kira-kira 8.24 malam, yang kemudiannya diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad untuk menjamu selera, sebelum menunaikan solat Isyak berjemaah.

Turut serta ialah beberapa menteri Kabinet antaranya Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Solat Isyak diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra Salahuddin Ghozali manakala solat hajat pula diimamkan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah.

Ia disusuli bacaan zikir munajat dan qasidah dipimpin secara bersama oleh beberapa selebriti terkenal seperti Munif Ahmad.

Sementara itu, tausiah disampaikan pendakwah bebas Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid manakala bacaan doa Keluarga Malaysia oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yadim Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Ismail Sabri turut menyampaikan bantuan kepada 20 buah pusat tahfiz, pondok, institusi kebajikan dan rumah anak-anak yatim.

Program Munajat Keluarga Malaysia anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu diadakan bersempena setahun Ismail Sabri menerajui kerajaan. Munajat Keluarga Malaysia itu dijalankan serentak di enam lokasi iaitu Putrajaya, Kedah, Pahang, Sabah, Sarawak dan Johor.

PUTRAJAYA, 21 Ogos — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika zikir munajat dan Qasidah pada Program Munajat Keluarga Malaysia di Masjid Putra hari ini. –fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan pada 21 Ogos 2021. – AlHijrah Online

Leave a Reply