TIGA KANAK-KANAK HILANG DITEMUI LEMAS

SETIU : Tiga kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika mencari kepah ditemui lemas di Muara Sungai Kampung Mangkuk, Setiu awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Affandi Hussin, mangsa pertama ditemui pada jam 1 pagi tadi dan yang terakhir pada jam 8.15 pagi.

Kesemua mangsa berjaya ditemui dalam operasi pencarian oleh pasukan mencari dan menyelamat. 

Kata Affandi, mayat pertama Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9, ditemui pasukan penyelamat kira-kira jam 1.00 pagi sekitar jarak 800 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Manakala adiknya, Muhammad Aryan Faheem, 7, dijumpai terapung kira-kira 1.5 kilometer sekitar jam 1.47 pagi dan seorang lagi mangsa terakhir Nurulhasha Humaira Che Mohd Humaizi,11, pula ditemui pada jam 8.15 pagi.

“Pihak kami dengan kerjasama pihak Bomba, pihak APM dan juga semua agensi yang terlibat telah bersama-sama menjumpai ketiga-tiga mangsa dalam keadaan meniarap dan ketiga-tiga mangsa telah kita hantar ke hospital untuk menjalankan bedah siasat..”

Deputi Superintendan Affandi Hussin/ Ketua Polis Daerah Setiu

Menurutnya kira-kira 80 anggota penyelamat termasuk penduduk kampung melakukan pencarian dan kesemua mayat mangsa yang dijumpai dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut.

Pada jam 5.30 petang semalam kegembiraan enam kanak-kanak mencari kepah bertukar tragedi selepas tiga daripadanya dikhuatiri lemas dan tiga lagi sempat diselamatkan.

Kesemua mereka dikatakan sedang mencari kepah sejauh kira-kira 50 meter dari tebing sebelum tenggelam. –AlHijrah Online

Leave a Reply