TIGA LOKASI ZON MERAH CATAT LEBIH 300 KES COVID-19

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Satu lokasi zon merah di Kuala Lumpur dan dua lagi di Selangor masing-masing mencatat lebih 300 kes positif COVID-19, jumlah yang tertinggi bagi satu kawasan setakat ini, menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM).

Kenyataan yang dikongsikan CPRC KKM menerusi aplikasi Telegram hari ini memaklumkan ia meliputi daerah Lembah Pantai di Kuala Lumpur dengan 367 kes manakala dua daerah di Selangor iaitu Petaling dan Hulu Langat masing-masing mencatat 308 dan 307 kes.

“Jika berlaku peningkatan kes secara mendadak di satu-satu kawasan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikenakan bagi mencegah jangkitan daripada merebak,” menurut kenyataan itu.

Jumlah zon merah yang dikenal pasti kekal 17 daerah dan tiada pertambahan zon merah setakat ini.

Daerah lain yang turut dikategorikan sebagai zon merah iaitu kes positif melebihi 41 kes dan ke atas ialah Kepong dan Titiwangsa (Kuala Lumpur), Gombak dan Klang (Selangor) serta Batu Pahat, Johor Bahru dan Kluang (Johor).

Hilir Perak dan Kinta (Perak), Kota Bharu (Kelantan), Tawau (Sabah), Kuching (Sarawak), Jerantut (Pahang) dan Seremban (Negeri Sembilan). — BERNAMA

Leave a Reply