KETUA HAKIM NEGARA GESA PERTIMBANG RISIKO COVID-19 DI PENJARA SEBELUM JATUH HUKUMAN

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat menggesa pegawai kehakiman untuk mengambil pertimbangan berkenaan masalah risiko penularan wabak COVID-19 dihadapi penjara dalam menjatuhkan hukuman bagi kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), Tengku Maimun berkata dengan mengambil kira peruntukan undang-undang sedia ada dalam menjatuhkan hukuman terhadap pesalah itu,  pegawai kehakiman dinasihati mengambil pertimbangan berkenaan risiko penularan wabak itu yang dihadapi penjara.

Bagaimanapun, ia adalah terletak pada budi bicara mahkamah untuk mempertimbangkan bentuk hukuman yang sesuai dengan mengambil kira masalah risiko penularan wabak itu yang dihadapi penjara-penjara, katanya.

PKPMP dalam kenyataan itu juga mengesahkan menerima surat daripada Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Datuk Seri Zulkifli Omar bertarikh 2 April berkenaan penerimaan banduan bagi kesalahan PKP.

Dalam surat berkenaan, beliau mencadangkan supaya pesalah-pesalah pelanggaran PKP dikenakan hukuman menjalani perintah khidmat masyarakat tanpa menjalani hukuman pemenjaraan.

Menurut Zulkifli, Jabatan Penjara berpendapat bahawa adalah satu masalah besar jika berlaku penularan wabak COVID-19 di penjara kerana selain jarak sosial yang mustahil dapat dilakukan, penjara juga menjadi bakal tempat penularan wabak itu dan boleh mengancam nyawa banduan mahupun kakitangan.

Pada 25 Mac lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP dilanjutkan sehingga 14 April untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Mahkamah Majistret dan Sesyen di seluruh negara sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara antara beberapa hari dan bulan dan  denda antara ratusan hingga RM1,000 juga hukuman Perintah Kehadiran Wajib (PKW) yang merupakan program khidmat masyarakat, terhadap beberapa pesalah termasuk warga emas dan remaja yang melanggar PKP.

Kesalahan yang paling banyak dilakukan adalah gagal mematuhi PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam mana-mana kawasan jangkitan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda  sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Ada juga didakwa menghalang tugas penjawat awam dalam menjalankan fungsi mereka semasa tempoh PKP mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda  sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — BERNAMA

Leave a Reply