UCAPAN PENUH PENGGULUNGAN BELANJAWAN 2021 OLEH DATUK DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh dan salam sejahtera.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Sebagai pembuka bicara, izinkan saya meminjam kata-kata Nabi Ya’qub alayhissalam yang dirakam dalam al-Quran:

إِنَّمَا أَشْكُو بَثِّي وَحُزْنِي إِلَى اللَّـهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah” (Surah Yusuf: 86) Demikianlah menerusi ayat ini kita diajar agar sentiasa mengadu dan merintih kepada Allah SWT dalam setiap urusan hidup, moga-moga dipermudahkan Allah SWT.

2. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih, terutamanya kepada Yang Berhormat Pasir Mas, Yang Berhormat Dungun, Yang Berhormat Bachok, Yang Berhormat Kuala Krai, Yang Berhormat Sik, Yang Berhormat Tampin, Yang Berhormat Setiu, Yang Berhormat Jelebu dan Yang Berhormat Parit Buntar yang telah membangkitkan 16 isu atau soalan yang berkaitan dengan hal ehwal Islam di bawah kementerian saya semasa perbahasan Belanjawan 2021 peringkat dasar. 

Tuan Yang di-Pertua,

3. Saya mulakan penggulungan ini, dengan menjawab isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pasir Mas mengenai SOP solat jemaah di masjid dan surau yang dikatakan terburu-buru menutup masjid dan surau. Pertama sekali, Kerajaan amat sedar dan sentiasa mengambil berat terhadap segala pandangan dan cadangan yang dikemukakan oleh rakyat berkenaan dengan SOP yang dikenakan. Walau bagaimanapun, kerajaan tidak boleh berkompromi dan mengambil mudah dalam memelihara kesihatan dan keselamatan rakyat. Justeru, kerajaan sentiasa mendengar nasihat KKM dan MKN bagi memastikan pembukaan masjid dan surau tidak bertentangan dengan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian Covid-19. Kaedah fiqh menyebut:

تصرف الامام على الرعية منوط بالمصلحة

Maksud: “Tindakan pemerintah terhadap rakyat hendaklah berasaskan kepada maslahah.”

4. Hal ini bukan sahaja dilakukan di Malaysia, tetapi juga dilakukan oleh negara-negara Islam yang lain berdasarkan pandangan institusi-institusi fatwa terkemuka dunia seperti Hai’ah Kibar Ulama al-Azhar, Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia dan Majma’ Fiqh Islam Sedunia. Hatta Pejabat Menteri sendiri telah menerbitkan buku mengenai topik Fiqh Covid-19 dan risalah al-Bayan bertajuk Isu Penjarakan Fizikal Semasa Solat Berjemaah di Masjid dan Surau. 

5. Mengenai SOP pembukaan masjid dan surau, saya telah mengambil inisiatif mengadakan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) sejak awal penularan wabak Covid-19 berlaku. Sehingga kini sebanyak 9 kali mesyuarat khas telah diadakan. Dalam mesyuarat terakhir pada 02 November 2020, antara resolusi yang dipersetujui adalah kapasiti jemaah ketika solat Jumaat diperluas kepada 1/3 dewan solat utama, manakala 30 orang bagi solat jemaah lima waktu di masjid dan surau.  Kanak-kanak berumur 8 tahun ke atas juga dibenarkan untuk hadir menunaikan solat Jumaat. SOP ini telah pun dilaksanakan di Wilayah-wilayah Persekutuan. Pelaksanaan di peringkat negeri-negeri yang lain pula, adalah tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri masing-masing memandangkan urusan agama terletak di bawah bidang kuasa negeri dengan perkenan Tuanku Sultan atau Raja. 

Tuan Yang di-Pertua, 

6. Saya amat berterima kasih dengan cadangan-cadangan dan isu yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat berkenaan pembangunan institusi pendidikan Islam di negara kita. 

7. Yang Berhormat Dungun mencadangkan agar kerajaan menaik taraf Darul Quran kepada sebuah universiti Al-Quran dengan menggunakan sepenuhnya model wakaf seperti yang telah dilakukan oleh negara-negara lain. Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan menyambut baik cadangan tersebut dan sedang mengkaji dengan serius dan meneliti lanjut kaedah penubuhan Universiti al-Quran berdasarkan dasar dan polisi sedia ada, di samping memastikan ia selaras dengan Rang Undang-Undang Wakaf yang akan dibentangkan di dalam Dewan yang mulia ini kelak.

8. Berkenaan pertanyaan Yang Berhormat Kuala Krai mengenai peruntukan untuk sekolah agama, tahfiz dan pondok untuk Belanjawan 2021. Ingin saya tegaskan bahawa, kerajaan amat mengambil berat terhadap pendidikan dan masa hadapan anak-anak kita yang belajar di institusi-institusi tersebut. Ini terbukti menerusi peruntukan sebanyak 29 juta ringgit bagi melaksanakan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET, di bawah KPT yang akan memberi manfaat kepada 15,000 pelajar institusi tahfiz dan sekolah pondok. Mengenai peruntukan khusus kepada sekolah agama rakyat, tahfiz dan sekolah pondok, kerajaan memperuntukkan sebanyak 100 juta ringgit di bawah komponen selenggara semua jenis sekolah yang berjumlah keseluruhannya 800 juta ringgit, sebagaimana dibentangkan dalam Ucapan Belanjawan 2021 oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan. Ini secara tidak langsung menjawab persoalan Yang Berhormat Tampin, adakah terdapat bantuan kerajaan terhadap institusi pendidikan Islam bukan milik kerajaan. Ini kerana, institusi pendidikan Islam bukan milik kerajaan seperti institusi pendidikan swasta yang berdaftar dengan pemegang taruh (stake holder) di negeri masing-masing turut menerima manfaat daripada peruntukan tersebut. 

9. Berhubung isu yang diusulkan oleh Yang Berhormat Sik supaya kerajaan mengkaji semula perjawatan Penyelia KAFA (Pembantu Hal Ehwal Islam Gred S19) agar dinaik taraf ke jawatan tetap Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S29. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, JAKIM sedang mengkaji jawatan 383 orang Penyelia KAFA berstatus Contract of Service (COS) gred S19 untuk diberi pengiktirafan skim perjawatan yang lebih sesuai dengan beban tugasnya iaitu di bawah skim Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam gred S29 secara COS. 

10. Berkenaan cadangan Yang Berhormat Setiu, agar Kerajaan menaiktaraf guru KAFA yang telah berkhidmat lebih 10 tahun diberikan status guru tetap berpencen. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, JAKIM sedang mengkaji pewujudan jawatan tetap guru KAFA melalui projek rintis yang dijangka akan dilaksanakan setelah mendapat kelulusan pihak berkaitan. Projek ini akan melibatkan seramai 120 orang guru di 12 buah sekolah di Wilayah Persekutuan, Sabah, Kelantan dan Pahang. Melalui projek ini, guru-guru KAFA akan dibayar elaun setaraf dengan DG29. Kerajaan berharap projek rintis ini dapat menjadi penanda aras untuk kerajaan mengujudkan perjawatan tetap dan berpencen kepada guru-guru KAFA pada masa akan datang. Suka saya tegaskan, tugas guru amatlah mulia dan kebajikannya akan sentiasa dibela. Bak kata pujangga Usman Awang: Dialah pemberi paling setia; Tiap akar ilmu miliknya; Pelita dan lampu segala; Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Tuan Yang di-Pertua,

11. Saya amat tertarik dengan persoalan Yang Berhormat Tampin, berkenaan sejauhmana kementerian sudah berpuashati dengan silibus pengajian guru takmir di masjid-masjid dan surau-surau. Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan sentiasa mengemas kini dan menambahbaik kurikulum atau silibus kelas pengajian takmir. Kurikulum yang dibangunkan adalah berdasarkan kepada kehendak dan keperluan semasa serta tahap pendidikan masyarakat. Ini seperti athar yang mengatakan:

خاطبوا الناس على قدر عقولهم 

Maksudnya: “Sampaikan kepada manusia mengikut tahap kefahaman mereka.”

12. Bagi memastikan impak dan nilai tambah ini tercapai, Pegawai Penyelaras Takmir Negeri dan Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah (PPMD) sentiasa menjalankan pemantauan terhadap respon balas pengajian takmir. Hasil dapatan pemantauan ini akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Penyelarasan dan Pelaksanaan Program Takmir Masjid dan Surau Seluruh Malaysia, bagi mendapatkan ulasan dan syor kepada “outcome” dan “output” pengukuhan dan pengimarahan takmir seluruh Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua, 

13. Yang Berhormat Jelebu ingin mengetahui sama ada JAKIM mempunyai sebarang peranan bagi menentukan isu halal dan haram sesuatu vaksin. Untuk makluman Yang Berhormat, Mesyuarat Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) telah menjelaskan hukum harus bagi penggunaan vaksin, selari dengan kaedah pencegahan yang  dianjurkan Islam berteraskan prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga nyawa. Dalam isu perubatan, ulama sepakat bahawa makanan termasuk ubat-ubatan mestilah terdiri daripada bahan-bahan yang baik (thoyyib) dan halal, serta tidak mempunyai unsur-unsur yang memudharatkan kesihatan badan dan akal manusia. Namun, terdapat kelonggaran menggunakan sumber yang haram dalam kes darurat yang boleh mengakibatkan kematian dan penyakit kronik, sedangkan sumber halal tidak diperoleh. Isu ini akan sentiasa dikaji dan diangkat kepada Mesyuarat Muzakarah MKI mengikut keperluan.

Tuan Yang di-Pertua,

14. Berkaitan isu wakaf, saya berterima kasih kepada Yang Berhormat Dungun, atas cadangan melibatkan keanggotaan daripada pelbagai bidang dalam Jawatankuasa Pelan Induk Wakaf Nasional yang akan ditubuhkan. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, saya ingin tegaskan isu wakaf adalah agenda yang akan diangkat sebagai nadi ekonomi dan pembangunan negara. Justeru, Pelan Induk Wakaf Nasional atau PIWN akan merangkumi semua aspek pembangunan bermula dari kaedah pembiayaan sehingga pengurusan dan penjanaan dana daripada aset-aset wakaf. Memandangkan ia akan menjadi dokumen rujukan semua pihak berkepentingan dalam pembangunan wakaf di Malaysia, Jawatankuasa yang ditubuh akan melibatkan Majlis Agama Islam Negeri dan semua pakar dalam bidang masing-masing seperti para akademik, pemain industri dan agensi berkepentingan wakaf yang mempunyai kepakaran di dalam bidang syarak, undang-undang, percukaian serta kewangan Islam.

15. Seiring dengan isu wakaf adalah isu zakat. Yang Berhormat Parit Buntar ingin mengetahui tentang penyelarasan maklumat kutipan zakat seluruh negara bagi mempertingkatkan ketelusan dan integriti kutipan dan pengagihan zakat, khususnya dalam keperluan suasana Covid-19. Sebagaimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, urusan zakat adalah termasuk di bawah bidang kuasa pihak kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan atau Raja bertindak selaku Ketua Agama Islam Negeri. Manakala bagi Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang maka Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong adalah bertindak selaku Ketua Agama Islam. Walau bagaimanapun, sebagai langkah awal, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) menjalin kerjasama dengan pihak MAIN serta Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) selaku peneraju dalam membangunkan Piawaian Perakaunan Islam bagi Institusi Baitulmal, Zakat dan Wakaf. Usaha ini telah dilaksanakan dan akan berterusan secara berfasa sebagai langkah memperkasa penyelarasan urusan zakat di negara ini.

Tuan Yang di-Pertua,

16. Yang Berhormat Bachok ingin mendapatkan penjelasan kerajaan mengenai rancangan terhadap pemerkasaan nilai-nilai agama, khususnya dalam kalangan anak muda hari ini. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, secara umumnya, pihak Kerajaan menerusi tindakan bersepadu Agensi-Agensi Agama di bawah JPM, Jabatan Agama Negeri-Negeri dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sentiasa mengambil langkah proaktif bagi menangani isu ini. Pelbagai program dilaksanakan bagi memastikan golongan belia memperoleh ilmu pengetahuan dan memperkasa nilai-nilai agama sama ada dalam bentuk kursus, seminar, wacana, dakwah santai dan lain-lain lagi. Kerajaan juga telah membina modul-modul yang sesuai seperti Modul Jati Diri dan Modul Kepimpinan Belia. Selain itu, Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) Tahun 2019-2025 telah diwujudkan bagi tujuan menangani gejala sosial dalam kalangan orang-orang Islam. Pemerkasaan nilai-nilai agama yang dilaksanakan melalui strategi-strategi  yang ditetapkan di bawah teras-teras PTSI dilaksanakan secara holistik melibatkan semua peringkat umur termasuk anak muda. Sesungguhnya isu akhlak di kalangan pemuda amat penting. Bak kata penyair Ahmad Shauqi:

وَإِنَّمَا الأُمَمُ الأَخْلاقُ مَا بَقِيَت : فَإِنْ هُمُ ذَهَبَتْ أَخْلاقُهُمْ ذَهَبُو

Maksud: “Sesungguhnya umat-umat itu hebatnya pada akhlak mereka selagi ada, jika mereka hilang akhlak, maka hilanglah mereka”.

Tuan Yang di-Pertua,

17. Berhubung pertanyaan Yang Berhormat Parit Buntar mengenai peruntukan 10 juta yang telah diluluskan bagi tujuan menyebarluaskan Dasar Islam yang dirangka. Untuk makluman Yang Berhormat, baki peruntukan tersebut telah pun diprogramkan semula. Ia diagihkan kepada beberapa agensi di bawah saya iaitu JAKIM, YADIM, TV Alhijrah, IKIM dan MAIWP bagi melaksanakan beberapa program seperti Program Rakan Masjid dan Hospital, Anugerah Nasyid, Pemerkasaan Program Dakwah, My Haus, Is’ad al-Usrah, Dialog Kefahaman Islam dan lain-lain. Selain itu, ia digunakan untuk melaksanakan beberapa projek penerbitan khas seperti Tafsir al-Bayan, Terjemahan al-Quran Mukhtasar al-Bayan dan Terjemahan Sunan Sittah, bermula dengan Terjemahan Sahih al-Bukhari.

18. Yang Berhormat Parit Buntar juga ingin mengetahui status pelaksanaan Akta Profesion Guaman Syarie yang telah diluluskan oleh Parlimen sebelum ini. Untuk makluman Yang Berhormat Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 [Akta 814] masih belum dikuatkuasakan kerana terdapat beberapa perundangan subsidiari dalam bentuk kaedah-kaedah yang perlu digubal terlebih dahulu dan dikuatkuasakan serentak dengan Akta 814. Sehubungan dengan itu, Kerajaan telah memberikan mandat kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan PGSM Cawangan Wilayah Persekutuan untuk melaksanakan perkara-perkara ke arah merealisasikan penguatkuasaan Akta 814 termasuk penggubalan kaedah-kaedah tersebut. 

19. Yang Berhormat Parit Buntar turut bertanya berkenaan peruntukan bagi memperkasakan Mahkamah Syariah sewaktu Covid-19 dalam Belanjawan 2021. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, dalam Belanjawan 2021, JKSM akan menerima peruntukan sebanyak RM 81.09 juta. Program-program untuk memperkasakan dan memartabatkan Mahkamah Syariah secara holistik telah dijalankan dari semasa ke semasa berdasarkan peruntukan yang diterima, termasuk usaha-usaha menyesuaikan mahkamah dengan situasi Covid-19 yang sedang melanda. Antaranya dengan pelaksanaan pendaftaran secara online yang telah pun dimasukkan dalam program sedia ada di bawah projek E-Syariah Versi 3. Manakala untuk perbicaraan online, kerajaan masih dalam proses untuk membuat pindaan undang-undang berkaitan bagi membolehkan ianya dilaksanakan dengan segera. Pelaksanaan perbicaraan online ini, buat permulaannya akan menggunakan fasiliti sedia ada dan keperluan bagi penambahbaikan fasiliti berkenaan akan dikaji dari semasa ke semasa.

20. Berkaitan isu integriti Hakim-Hakim Syarie yang memberikan pandangan di luar sedangkan mereka tertakluk kepada Kod Etika Arahan Amalan No. 1 tahun 200. Untuk makluman Yang Berhormat Parit Buntar, Perkara 3(g) Kod Etika Hakim Syarie 2001 menetapkan bahawa seseorang Hakim Syarie tidak boleh memberi pendapat mengenai sesuatu perkara atau keadaan yang ianya sedang dibicarakan atau berkemungkinan akan menjadi suatu isu dalam mana-mana perbicaraan di hadapannya, kerana pendapatnya itu boleh kemudiannya digunakan oleh sesuatu pihak untuk menyokong hujahnya. Justeru, Hakim-Hakim Syarie yang terlibat, sedar dengan Etika Hakim Syarie di mana pandangan dan ulasan yang diberikan adalah secara umum berkaitan prinsip undang-undang dan hukum, dan tidak boleh menyentuh secara langsung perkara yang dibicarakannya di dalam Mahkamah. Walaubagaimanapun, peringatan dari semasa ke semasa telah dan akan sentiasa diberikan kepada Hakim-Hakim Syarie tentang perkara ini. 

Tuan Yang di-Pertua, 

21. Isu yang terakhir adalah berkenaan isu yang amat dekat dengan hati dan jiwa seluruh umat Islam di negara ini. Ia sebagaimana yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kuala Krai mengenai  perancangan urusan haji dan umrah untuk rakyat Malaysia dalam situasi ini Covid-19. Sepertimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, penularan wabak Covid-19 telah menimbulkan risiko keselamatan dan kesihatan awam yang serius di seluruh dunia. Wabak ini telah menjangkiti hampir 55.6 juta orang dan mengakibatkan 1.34 juta nyawa telah terkorban di seluruh dunia. Arab Saudi, sebagai tuan rumah dalam urusan umrah dan haji, sentiasa memantau rapi perkembangan semasa pandemik Covid-19 di serata dunia sebelum mengeluarkan sebarang pemakluman rasmi mengenai pelaksanaan umrah dan haji khasnya bagi jemaah dari luar negara. Dalam kenyataan Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi pada 22 September 2020, jemaah dari luar Arab Saudi dibenarkan menunaikan umrah bermula 1 November 2020 dengan jumlah jemaah sehingga 20,000 orang setiap hari. Pelaksanaan ibadah umrah ini adalah tertakluk kepada SOP yang ketat bagi membendung penularan wabak Covid-19 di kalangan jemaah. 

22. Justeru, sebelum membuat ketetapan sama ada memberi kebenaran kepada umat Islam ke Tanah Suci mengerjakan umrah, Kerajaan akan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada  MKN dan KKM. Mengenai urusan haji yang dijadualkan bermula pada 11 Jun 2021, sehingga kini Kerajaan Arab Saudi masih belum mengeluarkan sebarang pemakluman atau kenyataan rasmi berhubung pelaksanaan haji bagi Musim 1442M/2021M.  

23. Setakat ini sahaja perkara-perkara yang sempat saya jawab dalam tempoh yang singkat ini. Manakala jawapan lengkap akan dikemukakan selepas ini. Saya sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih  kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengemukakan persoalan, cadangan dan pandangan yang sangat baik dan konstruktif. Saya akhiri ucapan saya dengan berdoa kepada Allah SWT, semoga dikurniakan kepada kita kebahagian, keamanan, kesihatan, afiat dan keselamatan.

Sekian, terima kasih. — AlHijrah Online

Leave a Reply