VAKSIN COVID-19: TOKOH ULAMA DUNIA BERI PANDANGAN

Sumber Gambar: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pandangan tokoh ulama dunia, Shaykh Abdallah Shaykh Al-Mahfoudh Bayyah berkaitan dengan vaksin COVID-19 antara intipati utama dalam majalah khas yang akan diterbitkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Shaykh Abdallah yang juga Pengerusi Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu (UAE) menghuraikan penggunaan vaksin itu dalam kalangan umat Islam secara menyeluruh menurut empat mazhab.

“Insyaallah, saya akan kemukakan dalam masa terdekat perkara itu,” katanya selepas menyempurnakan sumbangan barangan makanan anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Madrasah Raudhatul Muttaqin, Sentul, hari ini.

Terdahulu, Zulkifli memaklumkan bahawa beliau dalam proses mengeluarkan majalah khas untuk memberi penjelasan serta ulasan berhubung penggunaan vaksin dalam kalangan umat Islam sebagai usaha menangani permasalahan ummah dengan memberi kefahaman sebenarnya mengenai perkara itu.

Majalah setebal 40 muka surat itu akan diterbitkan dalam bentuk santai dan mudah difahami.

Malaysia sebelum ini dilapor telah memeterai perjanjian dengan fasiliti COVAX dan Pfizer untuk memperoleh vaksin COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa kerajaan menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca juga untuk tujuan sama, hari ini. —AlHijrah Online

Leave a Reply