ZULKIFLI KE ARAB SAUDI BINCANG KOS HAJI

KUALA LUMPUR: Bakal jemaah haji akan dimaklumkan mengenai penambahan kos ibadah haji dari semasa ke semasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Susulan penularan COVID-19, pihaknya menjangkakan pertambahan caj dan syarat yang akan dilaksanakan kerajaan Arab Saudi ke atas bakal jemaah haji susulan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) untuk ibadah haji.

“Unjuran kos itu tidak dapat ditentukan kerana belum ada simulasi pergi balik haji termasuk kos penerbangan sebagainya, dalam masa terdekat kita akan kira kos-kos keseluruhan dan diperincikan oleh Tabung Haji (TH).

Kita hanya menjangka pertambahan itu dahulu, dan saya sendiri akan pergi ke Arab Saudi untuk berbincang dengan menteri haji dan agamanya mengenai isu-isu berkaitan haji dan perincian keputusannya mungkin  penghujung Januari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Majlis Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-37 Musim Haji 1442H disertai lebih 500 pengendali kursus ibadat Haji secara dalam talian, hari ini.

Dr Zulkifli dalam pada itu menggalakkan orang ramai untuk menambah simpanan dalam TH namun, sebarang makluman pertambahan kos tidak akan dibuat secara mengejut dan berkata sebarang keputusan mengenainya akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet. —AlHijrah Online

Leave a Reply