WANITA 92 TAHUN DI TURKI SEMBUH DARIPADA COVID-19

IZMIR: Seorang wanita berusia 92 tahun sembuh daripada koronavirus selepas dirawat di hospital di Turki, demikian laporan agensi berita Anadolu.

Mukaddes Adiyaman dirawat di Hospital Izmir Egepol pada 14 April lalu selepas mengalami demam dan batuk berterusan, sebelum disahkan positif COVID-19.

Susulan proses rawatan berterusan, Adiyaman didiscaj dari hospital semalam.

Warga emas itu memberitahu beliau panik pada peringkat permulaan, namun merasa lega selepas diberikan penjagaan baik oleh petugas hospital.

Ketua hospital itu, Dr Hasan Murat Celik berkata kesemua hospital awam dan swasta di Turki bekerjasama dalam menangani wabak itu secara efektif.

“Kita lihat jumlah kes dan kadar kematian semakin menurun,” kata Dr Celik sambil menegaskan kelengkapan dan petugas perubatan di negara itu adalah mencukupi untuk berdepan wabak itu.

Setakat Selasa malam, Turki merekodkan 129,491 kes koronavirus dengan 73,285 individu sembuh. Sebanyak 3,520 kes pula menyebabkan kematian. — Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply