USTAZ ISMAIL KAMUS MENINGGAL DUNIA

KUALA LUMPUR: Pendakwah terkenal yang juga Pengasas Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia, Datuk Ismail Kamus, 72, meninggal dunia, kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

Perkara itu disahkan melalui laman Facebook rasmi pendakwah tanah air itu.

“Dukacita dimaklumkan. Tuan Guru Ustaz Dato Ismail Kamus telah meninggal dunia sebentar tadi. Al Fatihah,” kata posting yang dimuatkan dalam Facebook Allahyarham.

Menurut laman Facebook Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia yang dibanjiri ucapan takziah daripada orang ramai, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman beliau di Ampang jam 12.30 tengah malam tadi.

“Semoga Allah swt menempatkan Allahyarham di tempat yang mulia di sisi Allah swt,” kata laman FB pusat rawatan Islam itu.

Difahamkan, Allahyarham dimasukkan ke wad sejak 26 April lalu ekoran kesihatannya merosot.

Allahyarham kemudian dirujuk ke HKL pada hari yang sama dan didapati mengalami jangkitan di bahagian paru-paru.

Allahyarham yang juga bekas ADUN Gombak Setia selama sepenggal pada 1999 hingga 2004 dan veteran parti PAS itu, dilahirkan pada 2 Disember 1948 di Kampung Batang Rening, Ulu Selangor.

Ustaz Mohd Firdaus Ismail dalam kenyataannya memaklumkan jenazah Allahyarham akan dikafan dan disolatkan di Masjid As-Sobirin AU5 keramat pada jam 9 pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sobirin AU4 Keramat. — AlHijrah Online

Leave a Reply