JAKIM ANJUR PERTANDINGAN VIDEO KREATIF NUZUL AL-QURAN – PAIMUZI

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menganjurkan Pertandingan Video Kreatif sempena Nuzul al-Quran tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Paimuzi Yahya berkata pertandingan itu bermula 7 Mei 2020 atau bersamaan 14 Ramadan 1441H hingga 15 Mei 2020 bersamaan 22 Ramadan 1441H.

Katanya, pertandingan itu diadakan sebagai salah satu pengisian sempena Nuzul al-Quran yang disambut pada 17 Ramadan setiap tahun.

“Oleh kerana negara kita masih lagi dalam tempoh PKPB, maka JAKIM mengetengahkan acara yang sesuai melalui medium media sosial.

“Ia bertujuan mengajak umat Islam menghayati sambutan Nuzul al-Quran dalam normal baharu.

“JAKIM berharap, para peserta dapat mengolah ayat al-Quran secara kreatif sebagai jawapan kepada isu yang sedang melanda dunia pada masa kini dan bagaimana al-Quran menjadi penawar dan menyelesaikan permasalahan semasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pertandingan video kreatif itu mendapat kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), YaPEIMGold dan Yayasan Restu.

Ia dibahagikan kepada dua kategori iaitu, Nuzul Quran Challenge PKPB (terbuka kepada warga Malaysia yang bertemakan Nuzul Al-Quran) dan kategori Iqra’ Challenge PKPB (terbuka kepada peserta berumur 7 hingga 14 tahun).

“Peserta perlu mempersembahkan video kreatif bacaan Surah Al-‘Alaq Ayat 1 hingga 5 serta ibrah mengenai Nuzul Al-Quran,” kata Paimuzi.

Pertandingan itu menawarkan hadiah berupa wang tunai sumbangan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), simpanan emas sumbangan YaPEIMGold dan naskhah al-Quran eksklusif sumbangan Yayasan Restu.

Maklumat lanjut penyertaan boleh dirujuk di portal http://www.islam.gov.my atau media sosial rasmi JAKIM atau klik di https://bit.ly/Syarat2VideoKreatifNuzulQuran. — AlHijrah Online

Leave a Reply