WANITA MENGAKU TIDAK BERSALAH PUKUL KUCING HINGGA MATI

BUTTERWORTH: Seorang broker wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, atas pertuduhan memukul seekor kucing betina dan seekor anak kucing sehingga mati dalam kejadian Disember lepas.

Hah Choy Kheng, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Norhayati Mohamad Yunos.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan kejam memukul seekor kucing betina baka tempatan berwarna oren dan seekor anak kucing betina berwarna putih-kelabu dengan sebatang besi sepanjang 75 sentimeter (cm) hingga menyebabkan kematian kedua-dua ekor kucing tersebut.

Kejadian berlaku di bawah pokok berhampiran pondok berbumbung dalam kawasan padang permainan di Blok B1, Pintas Kalui 1, Seberang Jaya, Pulau Pinang pada jam 1.20 petang pada 29 Disember tahun lepas.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29 (1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 722) dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama.

Manakala jika disabit kesalahan, tertuduh boleh didenda di antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Pulau Pinang , Roziman Awang Tahrin, manakala tertuduh diwakili peguam, Shamsher Singh Thind.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Pada 30 Disember lepas, polis menahan seorang wanita selepas didapati memukul dua ekor kucing iaitu seekor kucing yang sedang bunting sehingga mati serta anak kucing sehingga cedera.

Difahamkan anak kucing tersebut mati selepas seminggu menerima rawatan akibat kejadian dipukul itu.

Wanita tersebut bertindak demikian selepas berang apabila dua ekor haiwan itu membuang najis di hadapan rumahnya.—AlHijrah Online

Leave a Reply