JAMAL YUNOS DIDAKWA BERHUBUNG MUAT NAIK KENYATAAN JELIK

AMPANG: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang atas dua pertuduhan memuat naik video dengan kenyataan jelik pada 19 Ogos lalu.

Beliau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan pertama, Datuk Jamal, 51, didakwa secara sedar memuat naik satu video kenyataan jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada, 19 Ogos tahun lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kediamannya di Taman Dagang Avenue pada hari yang sama, jam 10 pagi.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) dan Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Datuk Jamal turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan kedua dimana beliau pada hari yang sama pada jam 3 petang didakwa secara sedar memuat naik satu video kenyataan jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Mahkamah membenarkan jaminan RM10 ribu bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 18 Februari untuk sebutan semula kes.—AlHijrah Online

Leave a Reply