JANGAN SEBAR BERITA PALSU TENTANG PKP – KETUA POLIS KEDAH

ALOR SETAR: Pengguna media sosial diberikan amaran supaya tidak menyebarkan berita palsu mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kedah yang boleh menimbulkan suasana panik kepada orang ramai.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, tindakan tidak bertanggungjawab menyebarkan poster yang tular di media sosial boleh dikenakan tindakan.

Katanya, mesej palsu yang tular adalah poster kononnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju melaksanakan PKP di seluruh Kedah bermula 18 hingga 31 Januari.

PDRM menyiasat berita palsu terbabit dan kini sedang berkerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenalpasti individu yang memulakan penyebaran berita palsu tersebut.

“Ini satu kesalahan kerana ia boleh mencetuskan panik di kalangan masyarakat, ini perbuatan yang sememangnya tidak wajar.

“Masyarakat harus bertanggungjawab dalam memuat naik sebarang maklumat, jika tidak pasti jangan kongsi ini,” katanya.

Justeru beliau meminta orang ramai untuk tidak menularkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Sebarang penciptaan atau penyebaran berita dan kandungan palsu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun.

Beliau meminta orang ramai untuk merujuk sumber rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di laman web http://www.moh.gov.my atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di laman web rasmi http://www.who.int. –AlHijrah Online

Leave a Reply