WARDEN SEKOLAH HENRY GURNEY KANTOI POSITIF DADAH

TELOK MAS: Seorang wanita dipercayai warden Sekolah Henry Gurney direman tiga hari selepas didapati positif dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, Superitendan Zulkiflee Rashid berkata, suspek berusia 40 tahun yang juga ibu kepada lapan orang anak itu ditahan pada jam 7.15 malam.

Beliau berkata, wanita yang berasal dari Serkam, Jasin itu bertugas sebagai warden selama 16 tahun dan siasatan mendapati suspek terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak lima tahun lalu.

Sepasukan anggota JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menahan wanita tersebut dan dibawa ke IPD bagi ujian saringan air kencing.

Hasil ujian tersebut, suspek didapati positif dadah jenis amphetamine (AMP) dan syabu, bagaimanapun pemeriksaan dilakukan tidak menemui apa-apa jenis dadah yang disimpan bersamanya.

Mengulas lanjut, suspek disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.—AlHijrah Online

Leave a Reply