VAKSIN COVID-19 TIBA AHAD INI, MUHYIDDIN TERIMA SUNTIKAN 26 FEB

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menerima suntikan vaksin pada hari pertama pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dilancarkan secara berfasa pada 26 Februari.
Menurut Muhyiddin, vaksin jenis Pfizer-BioNTech akan tiba pada hari Ahad, dan pelaksanaan program tersebut akan bermula dengan fasa pertama yang melibatkan petugas barisan hadapan sehingga April.
Ujarnya, fasa kedua akan bermula April sehingga Ogos yang melibatkan kumpulan berisiko tinggi diikuti dengan fasa ketiga yang melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula Mei hingga Februari 2022.
Mengulas lanjut, program tersebut memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk dalam komuniti bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 serta dapat menamatkan pandemik tersebut.
“Ringkasnya, vaksinasi amat penting untuk kita melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga orang tersayang iaitu ahli keluarga, rakan kerja, jiran sekeliling dan seluruh komuniti.
“Inilah juga maksud slogan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang saya perkenalkan secara rasmi hari ini, iaitu ‘Lindung Diri, Lindung Semua’,” katanya.
Dalam masa yang sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memaklumkan sebanyak 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 akan diterima bagi penghantaran pertama ke Malaysia.
Tambahnya, vaksin tersebut akan diterbangkan dengan penerbangan MASKargo ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kemudian akan diasingkan sebelum dihantar ke pelbagai tempat penyimpanan vaksin ke seluruh negara.
Perdana Menteri berharap dengan kemenjadian program ini dapat memberikan impak positif termasuk membenarkan sektor ekonomi dan pelancongan kembali dibuka, serta aktiviti ziarah-menziarahi, aktiviti sukan boleh dilakukan dengan amalan norma baharu.—AlHijrah Online