Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

140 TAN TEPUNG UNTUK SYRIA

DUNIA

140 TAN TEPUNG UNTUK SYRIA

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, PBB berkata sekurang-kurangnya 370,000 orang di seluruh Syria telah menjadi pelarian di dalam negara sendiri sejak konflik itu meruncing pada 27 November 2024.

IDLIB, SYRIA: Pertempuran terbaru antara rejim Syria dan tentera antikerajaan yang dipimpin kumpulan Hay’at Tahrir al-Sham (HTS) telah menyebabkan ratusan ribu orang awam terpaksa meninggalkan kediaman mereka.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata sekurang-kurangnya 370,000 orang di seluruh Syria telah menjadi pelarian di dalam negara sendiri sejak konflik itu meruncing pada 27 November 2024.

Keadaan semakin memburuk bagi orang awam di negara bergolak itu selepas HTS berjaya menawan Idlib dan Aleppo di barat laut Syria secara mengejut pada penghujung November.

Kemaraan tentera antikerajaan itu tidak dapat dihalang oleh tentera rejim Bashar Al-Assad, menyebabkan HTS semakin menghampiri ibu negara, Damsyik, apabila turut berjaya menawan Hama.

Terkini, HTS mengeluarkan kenyataan bahawa tenteranya sudah tiba di pinggir bandar Homs dan memberi amaran kepada tentera kerajaan untuk berundur.

Perkembangan terbaru di Syria itu terus menekan orang awam apabila kekurangan bekalan makanan dan perubatan dilaporkan berlaku, terutama di Idlib dan Aleppo.

Organisasi bantuan kemanusiaan dunia, Islamic Relief berkata, barat laut Syria merupakan kawasan padat penduduk meletakkan orang awam terdedah kepada serangan.

Ketua Pejabat Islamic Relief di Idlib, Rajab Haj Salem, berkata, “Aleppo dan Idlib, yang merupakan kawasan paling padat penduduk, kini menjadi sasaran serangan yang dahsyat. Pada waktu tertentu, pusat bandar Idlib dihujani peluru setiap 30 minit.
 
“Saya sendiri terpaksa meninggalkan rumah di Idlib kerana kawasan itu menjadi sasaran. Saya menyaksikan bangunan tujuh tingkat musnah akibat serangan udara, manakala Hospital Universiti Idlib terdedah dengan serangan udara berlaku di sekitarnya.

“Jika pengeboman ini berterusan, perpindahan ke kawasan luar bandar akan berlaku dalam skala yang besar.”

Rajab berkata, Islamic Relief kini sedang memperluaskan bantuan makanan dengan menyumbang 140 tan tepung di Aleppo, bagi memastikan operasi kilang roti dapat diteruskan untuk menyediakan makanan kepada penduduk.

Manakala di Idlib, beliau berkata, klinik bergerak yang dikendalikan Islamic Relief terus dikerah untuk beroperasi selepas pusat kesihatan yang mendapat bantuan pihaknya ditutup sementara kerana rosak akibat pertempuran.

Selain itu, Islamic Relief turut merancang untuk menghantar petugas kesihatan dan peralatan dialisis bagi menyokong kemudahan perubatan yang kini semakin meruncing.

Barat laut Syria mula bergolak semula sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan memuncak pada akhir November.

Keganasan di Aleppo baru-baru ini merupakan pertempuran kali pertama sejak 2016.
 
Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Mohd Shukor Tahir berkata pihaknya kini membuka ruang kepada rakyat Malaysia untuk membantu penduduk negara bergolak itu dengan kempen Selamatkan Syria.

Tambahnya, Islamic Relief sudah mula beroperasi di Syria sejak 2011.

Malah, jelasnya, tahun lalu sahaja, Islamic Relief telah membantu lebih 1.7 juta rakyat Syria melalui pelbagai bentuk sumbangan.


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading