28 MASJID WARISAN DI MELAKA TIDAK TEPATI ARAH KIBLAT

MELAKA: Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengesan 28 masjid warisan yang sudah berusia lebih 100 tahun di negeri itu tidak menepati arah kiblat sebenar.

Mufti Negeri Datuk Abdul Halim Tawil berkata, ia berikutan penentuan arah kiblat yang dilakukan sebelum ini hanya bergantung kepada pengiraan tradisional berdasarkan cerapan dan matahari semata-mata.

Katanya, perkara tersebut bagaimanapun berjaya dikenal pasti menerusi pemeriksaan secara berperingkat yang dilakukan Jabatan Mufti Melaka serta Jabatan Ukur dan Pemetaan sejak empat tahun lalu.

Ujarnya, berdasarkan semakan dilakukan, arah kiblat 28 daripada 55 buah masjid warisan tersasar melebihi antara tiga hingga 18 darjah dari arah sebenar.

“Kita mendapati kira-kira 50 peratus daripada masjid yang kita semak, arah kiblatnya melebihi tiga darjah dan ada yang mencecah hingga 18 darjah tersasar dari arah kiblat sebenar.

“Justeru, kita memberi penjelasan kepada masyarakat dan kemudian membetulkan arah kiblat sedia ada dengan cara paling cepat kerana kita nampak ia jelas tersasar.

“Bukan bererti orang dulu salah tetapi ketika itu, berkemungkinan tiada badan yang mengawal, teknologi canggih seperti kompas dan sebagainya,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Arah Kiblat dan Penarafan Bintang Stesen Minyak PETRONAS Melaka di Semabok, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, antara 28 masjid warisan terbabit yang sudah diperbetulkan arah kiblatnya ialah Masjid Al Abrar Semabok, Masjid Kampung Hulu, Masjid Kampung Keling, Masjid Kampung Duyong dan Masjid Serkam.

“Jawatankuasa Fatwa memutuskan mana-mana arah kiblat jika kadar terpesong di bawah tiga darjah adalah dimaafkan dengan alasan ia masih menghala ke Baitullah. Namun, jika arah itu tersasar lebih daripada tiga darjah, ia berkemungkinan menghala ke Afrika Utara dan sebagainya, maka perlu dibetulkan,” katanya.

Sementara itu, berliau berkata pihaknya menerima permohonan daripada lebih 150 premis dan 80 buah rumah untuk melakukan pemeriksaan semula arah kiblat.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut akan dikenakan caj RM100 manakala premis perniagaan, surau dan masjid pada kadar RM200.—AlHijrah Online

Leave a Reply