Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

77 PENJAWAT AWAM TERMASUK ANGGOTA PDRM DITAHAN KES DADAH DI KEDAH

DALAM NEGARA

77 PENJAWAT AWAM TERMASUK ANGGOTA PDRM DITAHAN KES DADAH DI KEDAH

Seramai 77 penjawat awam, termasuk pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), ditahan di Kedah selepas disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

ALOR SETAR: Seramai 77 penjawat awam, termasuk pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), ditahan di Kedah selepas disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Kedah Datuk Azli Abu Shah berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota polis atau penjawat awam lain yang terbabit dengan dadah, yang disifatkan sebagai musuh nombor satu negara.

Beliau berkata statistik menunjukkan sebanyak 26,907 kes berkaitan dadah direkodkan di Kedah sejak awal tahun ini hingga 21 Dis lepas berbanding 23,759 bagi tempoh sama pada 2024, iaitu peningkatan sebanyak 13.2 peratus.

“Dari segi tangkapan, seramai 27,657 individu ditahan dan daripada jumlah itu, 24,335 orang dikenal pasti sebagai penagih, iaitu meningkat sebanyak 14.6 peratus dengan majoritinya berbangsa Melayu.

“Daripada jumlah itu, seramai 77 orang merupakan penjawat awam termasuk pegawai dan anggota polis. Saya tidak malu untuk menyatakan bahawa pucuk pimpinan PDRM tidak akan berkompromi dalam hal ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Azli berkata nilai rampasan dadah pula mencecah RM47.6 juta berbanding RM8.8 juta tahun lepas, iaitu peningkatan hampir 500 peratus.

Beliau berkata dadah tertinggi yang dirampas ialah bunga ganja seberat 426 kilogram (kg) diikuti syabu (419 kg), ganja (192 kg), heroin base (120 kg) dan heroin (73 kg).

Selain itu, tangkapan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 melibatkan penagih yang mempunyai dua rekod kesalahan terdahulu mencatatkan seramai 1,474 orang, tertinggi di Malaysia berbanding kontinjen lain.

Azli juga berkata komitmen tinggi semua anggota berjaya menghasilkan jumlah tangkapan dan rampasan yang besar meskipun berdepan kekangan kekuatan anggota, dan usaha itu akan diteruskan pada 2026 bagi membanteras gejala dadah di Kedah.

“Kita mempunyai hala tuju yang jelas dan akan memperincikannya untuk tahun hadapan… antara fokus utama ialah tindakan di bawah Seksyen 39C ADB 1952 dan hasilnya dapat dilihat apabila laporan jenayah berkurangan hampir 5,000 kes di Kedah.

“Ini kerana jenayah tidak dapat dipisahkan daripada penagihan dadah dan hampir 46 peratus jenayah indeks di Kedah disumbangkan oleh kes curi dan lain-lain, yang kebanyakannya dilakukan oleh penagih dadah,” katanya.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading