8,748 KES USIK METER TNB DI NEGERI SEMBILAN, KERUGIAN LEBIH RM93 JUTA

Gambar hiasan

SEREMBAN: Negeri Sembilan merekodkan 8,748 kes usikan pemasangan meter Tenaga Nasional Berhad (TNB) membabitkan kerugian lebih RM93 juta sejak 2018 hingga Okt 2022, Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri Teo Kok Seong berkata daripada jumlah itu, Seremban mencatatkan kes tertinggi iaitu 5,986 kes dengan kerugian RM71 juta, diikuti Port Dickson 1,342 kes (RM13.8 juta), Jempol 536 kes (RM3.4 juta) dan Tampin 412 kes (RM1.9 juta).

“Kuala Pilah sebanyak 277 kes (RM1.5 juta), Rembau 178 kes (RM847,464) manakala Jelebu 17 kes babitkan kerugian sebanyak RM298,868. Daripada jumlah itu, sebanyak 423 kes dibawa ke mahkamah untuk didakwa.

“Selain itu, kecurian air pula mencatat 1,771 kes dengan kerugian dianggarkan berjumlah RM3 juta bagi tempoh sama,” katanya menjawab soalan Chew Seh Yong (PH-Lobak) yang ingin tahu jumlah kecurian air dan elektrik sejak 2018 hingga kini pada Persidangan DUN Negeri Sembilan di sini hari ini.

Justeru, beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kes kecurian air atau elektrik untuk melaporkan kepada pihak berkuasa bagi tindakan sewajarnya sekali gus mengelak kerugian kepada agensi dan kerajaan negeri.-AlHijrah Online

Leave a Reply