AGONG TITAH AHLI PARLIMEN BERI SOKONGAN PADU KEPADA BELANJAWAN 2021

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah menasihati ahli Dewan Rakyat untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah bertitah demikian demi memastikan kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan COVID-19.

“Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa Belanjawan 2021, yang akan dibentangkan di Parlimen pada masa yang terdekat, adalah amat penting kepada kerajaan dan pihak-pihak berkuasa, khususnya para petugas barisan hadapan untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha-usaha membendung dan menangani ancaman wabak ini dari terus merebak.

“Al-Sultan Abdullah menyeru ahli-ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat baginda untuk mereka memberhentikan segera segala perbalahan politik dan sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, baginda turut mengingatkan ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat akan menjadi mangsa pada ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman wabak COVID-19.

Sementara itu Ahmad Fadil memaklumkan Seri Paduka Baginda hari ini menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat Pra Kabinet di Istana Negara.

Dalam sesi menghadap yang berlangsung lebih satu jam dari 8 pagi ini, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Parlimen pada 6 November 2020.

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan penuh kemampuan Muhyiddin untuk menerajui kepimpinan negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis,” kata Ahmad Fadil. — AlHijrah Online

Leave a Reply