JAKIM BATAL SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT KEBANGSAAN, TUKAR PENGHAYATAN MELALUI TV

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengumumkan pembatalan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M bagi menjaga kemaslahatan rakyat dan membendung penularan pandemik COVID-19.

Pun begitu Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh dalam kenyataannya berkata usaha menyantuni masyarakat dalam memperingati detik bersejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW serta menghayati sirah dan sunahnya diteruskan JAKIM dengan inisiatif norma baharu yang lebih santai melalui program ‘Semarak Cinta Rasul’.

JAKIM ujarnya akan menerbitkan Rancangan Khas Semarak Cinta Rasul yang akan disiarkan pada 28 Oktober, jam 9 malam di TV1.

Menurut Abdul Aziz antara pengisian rancangan khas tersebut ialah bacaan Al-Quran oleh Ahmad Tirmizi Ali, Johan Qari Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa 2014 serta Tayangan video khas Ibrah bertajuk “Muhammad”.

Selain itu rancangan khas berkenaan akan turut memaparkan Tausiyah oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, pengumuman penerima Anugerah Khas Semarak Cinta Rasul, dan penzahiran doa khas bagi memohon keselamatan dan keamanan Malaysia dari pandemik COVID-19 khususnya, dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

JAKIM, kata Abdul Aziz turut menyediakan program sampingan sambutan Maulidur Rasul tahun ini antaranya Kempen Malaysia Berselawat di media sosial yang memberi peluang netizen menzahirkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW dengan merakam selawat dan memuat naik di media sosial berserta tanda pagar #SemarakCintaRasul serta pertandingan video kreatif berunsurkan nilai-nilai murni dan Rasulullah SAW sebagai suri teladan. — AlHijrah Online

Leave a Reply