PRESIDEN PERANCIS PATUT CARI JALAN DAMAI BUKAN ‘SIRAM PETROL KE ATAS API’

KUALA LUMPUR: Presiden Perancis, Emmanuel Macron digesa untuk memilih jalan yang membawa kedamaian, bukannya melakukan tindakan yang boleh menggalakkan Islamofobia dan mengundang lebih banyak ketegangan dan keganasan.

Macron sebelum ini bertegas menyokong karikatur Nabi Muhammad SAW yang diterbitkan majalah satira Charlie Hebdo di Perancis.

Lapor media antarabangsa, Macron turut mengundang kemarahan umat Islam seluruh dunia apabila memaklumkan Perancis tidak akan ‘menyerah kalah’ dalam isu karikatur itu dan bertekad menangani ekstremisme Islam di negara Eropah itu.

GAMBAR OLEH by Munir UZ ZAMAN / AFP)
GAMBAR OLEH MAHMUD HAMS / AFP
GAMBAR OLEH Adem ALTAN / AFP

Susulan tindakan provokatif Macron, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan mengajak umat Islam di negara ini menentang kenyataan Presiden Perancis itu.

“Sebagai pemimpin negara, beliau sepatutnya bertindak mencari jalan yang boleh membawa perdamaian untuk semua, bukannya menyiram petrol ke atas api yang membara.

“Suka ditegaskan, Islam ialah agama yang akan sentiasa memilih kepada keamanan dan kedamaian.,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron. GAMBAR OLEH REGIS DUVIGNAU / POOL / AFP

Ujar Nasrudin, YADIM senada dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkiflio Mohamad Al-Bakri yang berpendapat keganasan adalah sesuatu yang sangat patut dielakkan terutamanya oleh golongan muda.

“Kami juga percaya, keganasan tidak melambangkan tindakan oleh mana-mana agama di negara ini. Malangnya, Macron mencipta kontroversi apabila beliau sinis menyatakan Islam adalah sebuah agama yang dilanda krisis di seluruh dunia.

“Kini Umat Islam di seluruh dunia seperti di Pakistan, Gaza, Lubnan, Iraq, Syria dan Jordan telah bangkit menyatakan kemarahan mereka atas kenyataan provokatif Macron,” katanya.

Selain itu tambahnya di negara lain seperti Kuwait, Jordan dan Qatar, beberapa pasar raya telah
memboikot produk keluaran Perancis.

GAMBAR OLEH Khalil MAZRAAWI / AFP

Beliau percaya perkara itu satu tindakan awal yang pantas dilakukan bagi menyentak keangkuhan Macron dan pemimpin sepertinya agar tidak lagi mengulangi perbuatan sedemikian.

“Meskipun peristiwa ini berlaku di Perancis, namun umat Islam di negara ini tidak boleh memandang sepi dan mengabaikan apa yang berlaku, melainkan kita juga mesti bangkit menyatakan sikap dan solidariti umat Islam seluruh dunia membantah provokasi yang keterlaluan ini,” katanya.

Charlie Hebdo sebelum ini dilapor mahu menerbitkan semula kartun kontroversi menghina Nabi Muhammad SAW, yang menjadi punca serangan daripada penembak beragama Islam terhadap akhbar berkenaan pada 2015. — AlHijrah Online

Leave a Reply