AMALAN PRINSIP 5 ‘I’ DALAM BUDAYA KERJA AGENSI AGAMA

PUTRAJAYA: Prinsip lima ‘I’ yang diterjemahkan dari tuntutan rukun Islam pertama akan menjadi budaya kerja agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Menterinya, Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhar berkata, lima ‘I’ yang dimaksudkan adalah Ilmu, Integriti, Itqan, Ikhlas dan Istiqamah.

“YB Menteri mengajak agensi-agensi Islam Persekutuan supaya menterjemahkan tuntutan Rukun Islam pertama iaitu ucapan kalimah syahadah ke dalam bentuk budaya kerja yang saya namakan sebagai Prinsip 5 ‘I’.

“Lima “I” yang saya maksudkan ialah, Ilmu, Integriti, Itqan, Ikhlas, dan Istiqamah,” kata Mohd Na’im menerusi ucapannya ketika mempengerusikan Mesyuarat Pasca Kabinet pertama sejak dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Putrajaya, hari ini.

Selain lima ‘I’, Mohd Na’im turut menyentuh tentang tanggungjawab agensi-agensi agama untuk menzahirkan Islam sebagai suatu agama yang memelihara keharmonian sejagat, hingga Islam yang menjadi agama Persekutuan di negara ini tidak dimusuhi oleh masyarakat bukan Islam.

Menyentuh tentang Pelan Strategik Hal Ehwal Agama yang mengunjurkan perancangan 14 agensi hal ehwal Islam hingga tahun 2026, Mohd Na’im berkata pelaksanaannya mestilah berasaskan kajian dan data saintifik agar sebarang dasar dan polisi yang dilaksanakan lebih objektif, praktikal dan tidak bersifat retorik.

Sehubungan itu katanya, agensi hal ehwal Islam perlu mempunyai pangkalan data berpusat dan perlu bersedia ke arah pendigitalan perkhidmatan.

Mohd Na’im dalam ucapannya juga menyeru semua agensi hal ehwal Islam memanfaatkan peranan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sebagai suatu platform efektif untuk mencapai kesepakatan dan penyeragaman dalam hal ehwal pengurusan Islam, perundangan serta pendidikan.

Ia termasuk berperanan menyelaraskan pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam pada peringkat Persekutuan dan negeri agar lebih kukuh dan mantap.

Mesyuarat Pasca Kabinet tersebut dihadiri ketua agensi-agensi hal ehwal Islam termasuk Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.—AlHijrah Online

Leave a Reply