ANGGOTA PETUGAS SJR SEDIH BERPISAH DENGAN ‘SI KILAT’

ALOR SETAR: Penutupan Sekatan Jalan Raya (SJR) Plaza Tol Utara di sini tepat jam 12 tengah malam tadi meninggalkan kenangan pilu buat anggota-anggota petugas SJR selepas terpaksa berpisah dengan seekor kucing yang tinggal bersama lebih setahun lima bulan.

Bagi Sarjan Budian Saf Taib, 37, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, saat berpisah dengan kucing jantan yang dipanggil ‘Kilat’ itu sangat memilukan kerana haiwan itu bersama dengannya sejak mula bertugas di SJR itu.

Malah kucing itu adalah peneman dan penghibur buat mereka setiap hari.

Katanya, sifatnya yang manja dan patuh pada arahan disenangi semua anggota lain.

Jelas Budian, walaupun terdapat beberapa ekor lagi kucing lain namun Kilat paling mencuri perhatian.

“Kucing itu berada di sini sejak sekatan ini mula dibuka, kami tidak tahu dari mana haiwan itu datang.

“Kami berikan makanan kepada Kilat dan haiwan itu terus menjadi peneman kami di sini,” katanya.

Namun Kilat terpaksa diserahkan kepada orang lain untuk menjaganya.

Menurut Mohd Hadi Hashim, 38, dari Bahagian Elektrik Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah, dia tidak menyangka kucing berwarna perang dan berbulu lebat itu menjadi miliknya selepas anggota polis memberikan kepadanya untuk dipelihara.

“Saya datang ke sini untuk membantu mereka berkemas dan terus ditawarkan untuk menjadi pemilik baharu kucing tersebut. Saya terus bersetuju,” katanya.

Bagi Nor Asnah Saad, 51, anggota RELA yang lebih enam bulan bertugas di situ, berasa sedih saat melihat rakan lain mengemas barang-barang.

Katanya, mereka ibarat satu keluarga yang besar dan sifat ambil cakna antara satu sama lain tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

“Rasa sedih sebab sudah banyak bulan bertugas dengan mereka ini.

“Walaupun kami berlainan pasukan, kerjasama yang ditunjukkan sangat baik,” katanya.

Turut berkongsi kenangan bersama adalah Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir, di mana beliau sendiri pernah ditahan di SJR itu.

Katanya, sebagai ketua, beliau menghormati ketegasan anggotanya serta agensi lain dalam mengawal kenderaan serta individu yang ingin memasuki kawasan bandaraya dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

“Saya sebagai OCPD, apabila kita dalam keadaan memakai mask, saya sendiri pernah ditahan oleh anggota polis dan mereka tidak dapat mengecam dalam pakaian macam ini.

“Ini satu kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang penugasan SJR di Kota Setar ini apabila kita lalu kawasan tol ini, nanti kita akan rasa satu yang hilang setelah hampir dua tahun kita sentiasa melihat anggota anggota bertugas dalam keadaan hujan dan panas, tetapi pada malam ini semua penugasan ini telah tamat,” katanya.

Tiga SJR iaitu di Plaza Tol Alor Setar Utara, Plaza Tol Alor Setar Selatan dan Plaza Tol Hutan Kampung ditutup sepenuhnya tepat jam 12 tengah malam tadi.–AlHijrah Online

Leave a Reply